Pelajar UMS Bakal Nikmati Menu Makan Berkualiti Serendah RM3.50 | Sabah News

Pelajar UMS Bakal Nikmati Menu Makan Berkualiti Serendah RM3.50 | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU, SABAH – Para pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menikmati menu makanan berkualiti di kafeteria kolej kediaman masing-masing dengan harga serendah RM3.50 bermula esok (15 Julai 2022).

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, usaha tersebut adalah sebagai menyahut saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menyediakan jualan makanan di dalam kampus dengan setiap hidangan pada harga siling RM3.50 menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia.

“Selaras dengan saranan tersebut, pihak pengurusan UMS telah mengadakan perbincangan dengan para pengusaha kafeteria di kolej kediaman milik UMS, dan telah mendapat persetujuan agar setiap pengusaha menyediakan menu makanan dengan harga siling serendah RM3.50.

“Walaupun dengan harga yang lebih murah, namun pihak UMS tidak akan berkompromi berkenaan isu penyediaan menu makanan yang berkualiti, dan akan memastikan setiap pelajar menikmati hidangan makanan yang lengkap dan bernutrisi,” katanya.

Beliau percaya usaha pengurusan universiti ini membantu pelajar berdepan dengan cabaran peningkatan kos sara hidup.

“Ini diharap dapat membantu mengurangkan beban kewangan pelajar UMS secara keseluruhan terutama pelajar dalam kelompok B40,” kata Raman…

Untuk rekod, terdapat sejumlah 13,179 pelajar B40 di UMS, terdiri daripada 4,215 pelajar lelaki dan 8,964 pelajar perempuan.

Selain itu, bagi membantu pengusaha kafeteria menangani isu kenaikan harga barangan yang turut memberi kesan kepada harga makanan semasa, moratorium bayaran sewa selama enam bulan juga diberikan kepada pengusaha kafeteria mulai bulan ini.

Langkah tersebut dijangka mampu membolehkan tanggungan kos sewa diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar memandangkan peningkatan harga barangan turut memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus.