UMS Sasarkan Lebih Ramai Pelajar Mobiliti Antarabangsa | Sabah News

UMS Sasarkan Lebih Ramai Pelajar Mobiliti Antarabangsa | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU, SABAH – Lebih 18 aktiviti berjaya dilaksanakan oleh Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FBEA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk penuntut mobiliti antarabangsa.

Dekan FBEA UMS, Prof Madya Dr Mohd Rahimie Abdul Karim berkata, kesemua aktiviti itu dilakukan menerusi dalam talian selama tempoh tiga bulan dan membabitkan seramai 88 orang penuntut antarabangsa dari Indonesia dan China.

Katanya, aktiviti itu tertumpu kepada ceramah kebudayaan, permainan tradisional dan kawasan tumpuan pelancongan dimana penuntut antarabangsa berpeluang menimba pengalaman untuk mempelajari budaya dan pengetahuan, terutamanya pasca pandemik COVID-19.

“Aktiviti itu diadakan dari semasa ke semasa bagi menyediakan penuntut Indonesia dan China merasai kembali ke Sabah selepas pandemik dan fasa endemik ini.

“Program ini bertujuan untuk menyediakan platform untuk berkongsi idea dan pengalaman antara penuntut antarabangsa dan tempatan,” katanya…

Tambah beliau, fakulti sentiasa komited untuk memastikan semua aktiviti mobiliti dalam talian sentiasa bernilai dan bermakna kepada penuntut.

“Saya berharap lebih ramai lagi penuntut antarabangsa dari China dan Indonesia yang akan menyertai program ini,” katanya.

Sementara itu, mantan Dekan FBEA UMS, Datuk Dr Kasim Md Mansur mengalu-alukan idea untuk menggalakkan lagi program pertukaran dan kerjasama berterusan dalam banyak aspek.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua penuntut mobiliti di fakulti ini dan berharap akan menerima lebih ramai lagi penuntut pada masa akan datang,” katanya.

Penyelaras program, Datu Razali Datu Eranza pula berkata program ini diharapkan agar penuntut antarabangsa dapat menerima pulangan fizikal supaya mereka boleh merasai keunikan di Sabah.