Penyelewengan 9 Tan Minyak Masak Bersubsidi Ditumpaskan Di Beluran | Sabah News

Penyelewengan 9 Tan Minyak Masak Bersubsidi Ditumpaskan Di Beluran | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

BELURAN, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah dibantu oleh anggota Batallion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran telah menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan minyak masak, dan diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sungai Kolapis, sini, semalam.

Hasil serbuan pada jam 3.30 petang itu, pasukan serbuan telah menjumpai sebanyak 9,690 kilogram minyak masak paket 1kg di atas kapal dan minyak diesel dengan kuantiti 5,000 liter di dalam skid tank di kawasan berhampiran.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata barang kawalan tersebut dipercayai akan dijual ke negara jiran.

“Kapal, scout dan skid tank yang disyaki digunakan untuk menyeleweng telah dirampas dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM1,904,975…

“Seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai penjaga kapal di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Risikan telah dijalankan selama tiga minggu sebelum serbuan dijalankan…

“Berdasarkan keterangan awal, penjaga dua kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen,” katanya.

Tambahnya, siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

Siasatan lanjut juga akan dijalankan untuk mengenal pasti rantaian kegiatan ini. Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta…

“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan,” beliau berkata.

Di bawah tindakan lain, Georgie berkata KPDNHEP khususnya di Sabah akan terus melaksanakan tindakan mengawalselia bekalan dan harga barang kawalan dan keperluan asas seperti Ayam Telur dan Minyak Masak di setiap peringkat rantaian melalui pemeriksaan OPS ATM (Ayam, Telur, dan Minyak Masak).

Pelaksanaan OPS ATM mulai dilaksanakan pada 23 Jun 2022 dan secara berfasa (Fasa 1 bermula pada 23 Jun 2022 hingga 30 Jun 3 2022, dan Fasa 2 bermula pada 01 Julai hingga 31 Julai 2022.)

Ianya bertujuan untuk membanteras dan menggempur aktiviti menyorok barang kawalan dan memastikan keberadaan bekalan terutama barang makanan negara sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna pada harga berpatutan pada setiap masa.

“Berdasarkan statistik pemeriksaan di bawah OPS ATM (Fasa 1 dan Fasa 2, setakat 12 Julai 2022) sebanyak 1,162 premis telah diperiksa di seluruh Sabah dan sebanyak 23 kes dihasilkan di bawah kesalahan Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 (Penandaan Harga bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah OPS ATM ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” tegasnya.