Kerjasama Dua Hala Antara China Dengan Malaysia Akan Ditingkatkan – Ismail Sabri | Sabah News

Kerjasama Dua Hala Antara China Dengan Malaysia Akan Ditingkatkan – Ismail Sabri | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, China akan terus memberi keutamaan untuk meningkatkan kerjasama dua hala dengan Malaysia terutama bagi menangani cabaran semasa yang dihadapi kedua-dua negara pada hari ini seperti inflasi global dan keselamatan makanan.

Katanya, perkara itu dinyatakan Penasihat Negara merangkap Menteri Luar China Wang Yi ketika kunjungan hormatnya ke Putrajaya pada Selasa.

Ismail Sabri berkata, China juga perlu memainkan peranan penting bagi memastikan keamanan dunia dikekalkan…

“Saya menyuarakan pandangan bahawa setiap konflik yang berlaku wajar diselesaikan di meja rundingan dan bukan melalui peperangan,” katanya dalam catatan di laman Facebook rasminya.

Beliau berkata, pertemuan dalam suasana mesra selama sejam itu turut membincangkan mengenai hubungan dua hala serta kepentingan dalam membangunkan ekonomi digital.

Katanya, Malaysia mengalu-alukan minat lebih banyak delegasi rasmi dan perniagaan dari China seperti Huawei untuk sama-sama terlibat dalam inisiatif kerajaan.

Ismail Sabri berkata, Wang Yi turut menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia di atas peluang yang diberikan kepada syarikat-syarikat infrastruktur China untuk terlibat sama dalam projek pembangunan negara antaranya pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menurutnya, pihak China berhasrat meneruskan kesinambungan jaringan landasan keretapi yang turut melibatkan Laos dan Thailand.

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut menyampaikan ucap selamat kepada Presiden China, Xi Jinping dan Premier Li Keqiang.

“Saya menyuarakan hasrat untuk mengadakan lawatan rasmi ke China dalam masa terdekat dan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi dan Premier Li,” katanya.

Wang Yi kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula Isnin.

Kali terakhir Wang Yi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia adalah dua tahun lepas.

Wisma Putra memaklumkan bahawa hubungan Malaysia dan China terus diperkukuh dan diharmonikan sejak peningkatan jalinan hubungan Malaysia-China ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013.

Kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-10 perkongsian itu tahun depan.