SUMBER KERAJAAN DEDAHKAN TAJUDDIN DIGUGURKAN SEBAGAI DUTA MALAYSIA KE INDONESIA | Sabah News

SUMBER KERAJAAN DEDAHKAN TAJUDDIN DIGUGURKAN SEBAGAI DUTA MALAYSIA KE INDONESIA | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Dato’ Sri Tajuddin bin Abdul Rahman…

KUALA LUMPUR – Sumber kerajaan memaklumkan Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Sri Tajuddin bin Abdul Rahman digugurkan sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia.

Sumber itu yang dipetik FMT mengesahkan bahawa nama Tajuddin tidak terkandung dalam senarai terbaru penerima watikah pelantikan diplomat ke luar negara daripada Yang di-Pertuan Agong hari ini (12 Julai).

Menurutnya lagi, kerajaan “berubah hati” mengenai pelantikan Tajuddin.

“Sebab itu nama dia tak dimasukkan dalam senarai utusan terbaharu yang akan terima surat watikah daripada Yang di-Pertuan Agong esok (12 Julai),” katanya kepada FMT malam tadi.

Bagaimanapun, The Malaysian Insight yang memetik sumber rapat dengan Pejabat Perdana Menteri berkata, pelantikan itu “masih di landasan betul” dan surat watikah hanya ditangguhkan.

Ketika dihubungi, Tajuddin enggan mengulas dan meminta FMT merujuk isu itu kepada Wisma Putra.

“Tiada komen. Tanyalah Kementerian Luar ke, tanya Perdana Menteri ke, saya mana tahu,” katanya kepada FMT.

Ketika ini, pihak FMT difahamkan sedang menghubungi Menteri Luar, Saifuddin Abdullah dan timbalannya, Kamaruddin Jaffar.

Pelantikan Tajuddin mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk bekas diplomat.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pihak yang mendesak Tajuddin digugurkan sebagai duta besar ibarat mempertikaikan kuasa Agong, kerana pelantikan beliau sudah diperkenan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob…

Tajuddin sebelum ini menyifatkan sebahagian kritikan berhubung pelantikannya sebagai “tidak adil”.

“Mereka tidak kenal saya, cuma tahu saya orang tua, sedangkan saya sudah berkhidmat dengan kerajaan, negara dan rakyat lebih 45 tahun lalu, sejak berusia 25 tahun lagi. Tetapi, saya dilayan seolah-olah seperti saya ‘orang tepi jalan’.”

Beberapa pihak dalam UMNO turut mendesak Tajuddin digugurkan sebagai duta besar ke Indonesia kerana tindakannya menyerang presiden Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka yang disifatkan sebagai “memalukan”.

Dalam sidang medianya sebelum ini, Tajuddin menggesa Zahid berundur daripada jawatan presiden UMNO.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi…

Petisyen juga dilancarkan di Change.org untuk menggesa pelantikan Tajuddin sebagai duta besar ke Indonesia dibatalkan, yang mengumpulkan lebih 35,000 tandatangan setakat hari ini.

Pada Mei 2021, Ahli Parlimen kontroversi itu digugurkan daripada jawatannya sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, beberapa hari selepas sidang medianya yang mendapat kritikan berhubung perlanggaran dua tren LRT.