Warga UMS, Penduduk Setempat Rai Aidiladha di Masjid UMS | Sabah News

Warga UMS, Penduduk Setempat Rai Aidiladha di Masjid UMS | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Antara yang hadir menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid UMS…

KOTA KINABALU, SABAH – Dianggarkan 1,000 jemaah terdiri daripada warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan penduduk di beberapa kampung terdekat bersama-sama berhimpun di Masjid UMS bagi menunaikan solat sunat Aidiladha, pagi kelmarin.

Jemaah kelihatan telah mula memenuhi ruangan masjid seawal jam 7.00 pagi, sebelum menunaikan solat sunat yang dipimpin Pengarah Pusat Islam UMS (PIUMS), Ustaz Md Razali Saibin pada jam 7.45 pagi, serentak dengan pelaksanaan waktu solat sunat Aidiladha di seluruh Sabah.

Antara yang hadir Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin; serta pegawai kanan universiti.

Acara penyembelihan korban diadakan sejurus selepas selesai solat sunat Aidiladha, yang melibatkan 83 petugas korban terdiri daripada 30 ahli Kesatuan Kakitangan Am UMS (Kekaumas), 10 staf PIUMS, dan 43 sukarelawan pelajar.

Penyembelihan korban melibatkan 10 ekor lembu…

10 ekor lembu dikorbankan melibatkan 31 peserta korban pada tahun ini, dengan 9 ekor lembu dikorbankan di perkarangan bangunan PIUMS, manakala seekor dikorbankan untuk penduduk kampung di daerah Kota Marudu.

Selain acara penyembelihan haiwan korban, turut diadakan acara melapah daging korban dan rewang (masakan untuk jamuan hari raya)…

Daging korban diagihkan kepada para penama korban yang mengambil bahagian, kakitangan UMS, kakitangan kontraktor pembersihan dan teknikal di UMS, serta penduduk kampung yang terlibat bagi acara korban di luar UMS.

Satu acara jamuan makan turut diadakan selepas solat Zuhur melibatkan para pegawai utama dan kanan universiti serta kakitangan dan pelajar UMS.