Cuaca Buruk Menyebabkan Ganguan Bekalan Elektrik Di Sabah | Sabah News

Cuaca Buruk Menyebabkan Ganguan Bekalan Elektrik Di Sabah | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

KOTA KINABALU, SABAH – Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Idris Mohd Noor berkata, pihaknya sedang giat melaksanakan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik yang terputus akibat angin kencang serta hujan lebat yang melanda pantai barat dan pedalaman Sabah sejak Jumaat lalu.

Jelas beliau, keadaan cuaca yang tidak menentu itu telah menyebabkan tiang elektrik, pokok tumbang, hakisan tanah serta banjir kilat di beberapa kawasan. Oleh itu, SESB dengan bantuan kontraktor berusaha untuk memulihkan bekalan elektrik yang terputus.

Tambah beliau, antara kawasan yang dikenal pasti banyak mengalami gangguan bekalan elektrik disebabkan kejadian ini adalah Kota Kinabalu, Papar, Keningau, Tenom, Kota Belud, Kudat dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kejadian ini turut mengakibatkan banyak pepasangan SESB mengalami kerosakan teruk dan seterusnya mengakibatkan gangguan bekalan elektrik kepada pengguna.

“Anggota kerja teknikal SESB yang sedang bercuti menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha turut diarahkan untuk membantu dan mempercepatkan proses pemulihan bekalan elektrik di kawasan terlibat,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Idris berkata, pasukan SESB siap sedia untuk bertugas berterusan dengan mengambil tindakan pembaikan atas semua aduan yang meningkat mendadak disebabkan cuaca tidak menentu dan keutamaan kerja pemulihan ini diberikan kepada tempat kritikal seperti hospital dan melibatkan keselamatan pengguna.

Justeru, katanya, SESB amat menghargai kesabaran dan kerjasama pengguna sepanjang tempoh pemulihan bekalan ini dan SESB terus bersedia 24 jam memantau bekalan elektrik berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dalam satu kenyataan memaklumkan, bahawa keadaan cuaca tidak menentu itu disebabkan cuaca tekanan rendah di barat Filipina dijangka bergerak menuju ke timur Vietnam mulai hari ini hingga Rabu ini yang berpotensi membawa angin baratan yang kuat dan boleh menyebabkan kejadian garis badai.