Penyemak Laman Web Dilancarkan Bantu Elak Pengguna Ditipu | Sabah News

Penyemak Laman Web Dilancarkan Bantu Elak Pengguna Ditipu | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar sekadar hiasan…

LONDON – Penyemak laman web dilancarkan untuk membantu pengguna mengesahkan sama ada laman berkenaan selamat dan sah sebelum dilawati.

Memetik laporan BH, kumpulan keselamatan Internet Get Safe Online bekerjasama dengan perkhidmatan pencegahan penipuan Cifas untuk mencipta penyemak yang membolehkan pengguna memasukkan alamat mana-mana laman web bagi memastikan sama ada ia laman sebenar atau penipuan.

Ia dihoskan pada laman web ‘Get Safe Online’ dan menggunakan algoritma berdasarkan lebih daripada 40 sumber data dan laporan laman web palsu daripada agensi penguatkuasaan undang-undang, pengawal selia dan jenama pengguna untuk mengenal pasti dan menyemak laman yang dimasuki dengan memberikan skor kepercayaan.

Laman web palsu selalunya menyamar sebagai tulen, digunakan oleh penipu bagi menarik orang ramai berkongsi butiran peribadi dan kewangan yang kemudiannya boleh digunakan untuk memudahkan pencurian identiti.

Pengguna boleh memasukkan URL laman web dan melihat kemungkinan sama ada ia akan menipu, cuba membawa memuat turun perisian palsu atau sejauh mana ia boleh dipercayai.

Ketua Eksekutif Get Safe Online, Tony Neate berkata, pihaknya teruja dengan pelancaran penyemak lawan web itu kerana akhirnya dapat menawarkan individu peluang untuk menyemak laman web tidak sah secara literal sebelum menggunakannya.

Menurut data terkini daripada Cifas, terdapat peningkatan sebanyak 43 peratus dalam kes membabitkan kecurian identiti yang difailkan kepada Pangkalan Data Penipuan Kebangsaan dalam tempoh tiga bulan pertama 2022, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Ini adalah penyemak yang hebat untuk membantu pengguna dalam usaha berterusan menentang penipuan dalam talian,” kata ketua eksekutif Cifas, Mike Haley.

“Impak buruk penipuan boleh mengakibatkan bukan sahaja kehilangan pendapatan atau maklumat peribadi yang sensitif, tetapi juga kehilangan keyakinan apabila mengemudi dunia digital,” katanya.