PBS Kekal Pilihan Utama Rakyat Matunggong | Sabah News

PBS Kekal Pilihan Utama Rakyat Matunggong | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Julita menyampaikan sijil penghargaan kepada Thomas…

KUDAT, SABAH – Parti Bersatu Sabah (PBS) terus mendapat sambutan dan menjadi pilihan utama rakyat termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong.

Terbaharu, seramai 33 orang daripada kalangan anak muda menyerahkan borang permohonan untuk menyertai parti itu menerusi tiga cawangannya dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lodung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki menerima borang-borang permohonan tersebut pada Majlis Kesyukuran PDM Lodung, yang diadakan berikutan kejayaan parti memenangi PDM ini pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) yang lalu.

Julita yang juga Setiausaha Agung PBS berkata, ini menunjukkan PBS kekal menjadi pilihan anak muda memandangkan rekod dan imej perjuangan membela rakyat dan negeri Sabah yang sudah terbukti.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera PRN16 PBS di PDM Lodung yang diketuai Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Thomas Leong bersama jawatankuasanya, serta Jalinan Bersatu Wanita PBS Matunggong yang telah memenangkan parti di PDM tersebut.

“Saya gembira dan berterima kasih dengan komitmen kalian semua. Majlis kesyukuran yang tidak dapat diadakan kerana kekangan Covid-19 sebelum ini akhirnya dapat diteruskan pada hari ini,” katanya.

Dalam ucapannya, Julita juga menyatakan sokongan kepada kenyataan dan pendirian Presiden PBS mengenai cadangan dan langkah penubuhan Jawatankuasa Bipartisan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

“Langkah dan keputusan ini amat penting agar kita dilihat serius, tegas dan telus dalam perkara ini,” katanya…

Julita yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat juga bersetuju dan menegaskan bahawa perjanjian baharu tidak diperlukan oleh rakyat dan negeri Sabah.

“Perjanjian Malaysia telahpun dipersetujui dan ditandatangani oleh pejuang-pejuang lepas. Apa yang kita perlukan ialah keputusan dan tindakan berbentuk ‘intentional” daripada Persekutuan untuk memastikan hak-hak negeri Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tersebut dapat dilaksanakan,” tegasnya.

Beliau juga menyeru kepada rakyat Matunggong agar terus cekal dan berdiri menyokong perjuangan yang tulen selaras dengan hasrat seluruh rakyat untuk menegakkan keadilan keatas hak-hak negeri Sabah.

“PBS adalah parti yang bersama-sama dengan rakyat melalui pahit manis dan pelbagai cabaran. Perjalanan sentiasa sukar tetapi kita kuatkan semangat demi negeri yang tercinta ini,” ujarnya.