Lembu ‘Tersado’ Malaysia Dikorbankan, Beri Manfaat 1,000 Asnaf | Sabah News

Lembu ‘Tersado’ Malaysia Dikorbankan, Beri Manfaat 1,000 Asnaf | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Ahli jemaah bertungkus lumus menumbangkan lembu sado baka Charolais seberat 1.2 tan bernama ‘Gemuk’ untuk dikorbankan sempena Aidiladha pada Majlis Perlaksanaan Korban Ikhlas 2022 di Masjid Al-Ikhlasiah hari ini…(Sumber Foto: Bernama)

KUALA LUMPUR – Lembu ‘tersado’ di Malaysia seberat 1.2 tan yang dinamakan ‘Gemuk’ dipilih untuk ibadah korban kerana merupakan lembu yang terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas, Ikhlas Kamarudin berkata Gemuk yang dianggarkan mempunyai nilai pasaran melebihi RM30,000 itu merupakan haiwan kesayangan seorang kanak-kanak perempuan.

Beliau berkata Gemuk dibesarkan oleh seorang penternak bernama Muhammad Bakri Bukhari dari Bera, Pahang iaitu seorang pelanggan pakej umrah yang ditawarkan Ikhlas Sdn Bhd yang telah menunaikan ibadah suci itu pada Mac lepas.

“Semasa Gemuk diambil Muhammad Bakri, beratnya hanyalah 600 kilogram (kg) dan beliau telah menjaga Gemuk selama empat tahun sehinggalah menjadi seberat 1.2 tan. Jadi boleh dikatakan Encik Bakri adalah seorang pengembala terbaik di Malaysia…

“Sebab apa kami pilihnya untuk ibadah korban tahun ini kerana Gemuk adalah lembu yang terbaik. Ibadah korban bukan sekadar memberi tetapi memberi yang terbaik,” katanya selepas ibadah korban di Masjid Ikhlasiah, Pantai Dalam dekat sini, hari ini.

Ikhlas juga menceritakan bagaimana anak perempuan Muhammad Bakri bersedih apabila diberitahu oleh ayahnya bahawa Gemuk akan dijual untuk dikorbankan setelah mendapat gelaran ‘King of Sado’.

Anak perempuan dia banyak jaga lembu dengan bapanya. Dia banyak membantu untuk basuh dan memberi makan. Jadi apabila dia dapat tahu lembu ini akan dijual, dia merajuk dengan bapanya…

“Tetapi, bapanya sudah menjelaskan bahawa Gemuk dipilih oleh Allah S.W.T untuk kebaikan orang ramai, dan sekarang anak dia sudah faham dan tidak bersedih lagi,” katanya.

Gemuk yang berbaka Charolais itu sebelum ini telah dinobatkan sebagai King of Sado 2022 dalam Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2022 yang diadakan awal bulan ini.

Gemuk disumbangkan oleh seorang individu melalui Ikhlas Sdn Bhd, sebuah platform gaya hidup Islam digital kepada Masjid Ikhlasiah bagi memanfaatkan 1,000 asnaf yang berada dalam kariah di sini.

– BERNAMA