Dua Percubaan Seludup Keluar 1250 Liter Petrol Bersubsidi Digagalkan | Sabah News

Dua Percubaan Seludup Keluar 1250 Liter Petrol Bersubsidi Digagalkan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

SEMPORNA, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna menggagalkan dua percubaan menyeludup keluar 1250 liter minyak petrol bersubsidi sekitar jam 2.30 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, semasa dalam tugasan rondaan rutin, bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan pergerakan mencurigakan dua (2) buah bot enjin sangkut di dua lokasi berbeza.

“Pergerakan pertama yang dicurigai dikesan lebih kurang 2.4 batu nautika utara Terumbu Pasalat…

“Semasa dihampiri, tekong bot bertindak terjun melarikan diri dan meninggalkan bot enjin sangkut tanpa nombor pendaftaran bersama 625 liter petrol dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Manakala sebuah lagi bot enjin sangkut dengan nombor pendaftaran tempatan berjaya dipintas di lokasi sekitar 1.1 batu nautika Utara Tg. Panto-Panto.

“Tekong bot turut melakukan tindakan nekad melarikan diri dengan meninggalkan bot dan berenang ke arah kawasan cetek.

“Pemeriksaan ke atas bot kedua turut menemui 625 liter petrol juga dipercayai untuk diseludup ke negara jiran…

“Kedua-dua bot dibawa ke Jeti Maritim Semporna dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Norrimi berkata nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, enjin serta petrol bernilai hampir RM23 ribu sementara kes sedang disiasat di bawah Akta Bekalan 1961.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini. Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM100 ribu atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

“Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot spot’ terutamanya sekitar sempadan perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI ke negeri Sabah melalui jalan laut,” ulasnya.