Rakyat Berisiko Tinggi Disarankan Ambil Dos Penggalak Kedua – Khairy | Sabah News

Rakyat Berisiko Tinggi Disarankan Ambil Dos Penggalak Kedua – Khairy | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

PETALING JAYA – Menteri Kesihatan Malaysia (KKM) Khairy Jamaluddin menyarankan agar warga emas, individu yang mempunyai komorbi­diti dan pekerja barisan hadapan untuk mendapatkan dos penggalak kedua .

Beliau berkata mereka sekurang-kurangnya perlu mendapatkan dos penggalak kedua tersebut empat bulan selepas menerima dos penggalak pertama.

Jelas beliau, sehingga kelmarin, sebanyak 31.4 peratus daripada golongan dewasa iaitu seramai 7,393,199 inidividu masih belum dapat dos penggalak.

“KKM ingin mengatakan dos penggalak ini tidak wajib tetapi sangat disarankan ter­utama bila kita berdepan dengan gelombang baharu dan apabila kita melihat pergerakkan manusia di Malaysia akan mening­kat kerana cuti aidiladha.

“Kepada warga emas dan rakyat yang ada masalah komorbiditi untuk segera dapatkan dos penggalak sekiranya belum terima dos penggalak…

“Ini sangat penting memandang­kan kita berdepan dengan gelombang Covid-19 yang baharu.

“Bagi dos penggalak yang kedua, hanya 151,018 telah mendapat dos penggalak ke­dua iaitu 6.06 peratus daripada 2,339,792 individu yang layak,” jelasnya.

Jelas beliau, KKM te­lah buka ruang kepada warga emas dan juga penduduk Malaysia yang ada komorbi­diti untuk menerima dos penggalak kedua.

“Kita menawarkan dos penggalak yang kedua dan mereka berkelayakan boleh mendapatkan dos penggalak mereka secara percuma di pusat pemberian vaksin swasta yang berdaftar yang tersenarai di laman web Protect Health,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen.

Setakat ini di Malaysia, KKM mengesahkan, sehingga 30 Jun, sudah terdapat 13 kes sub-varian Omicron yang sedang dipantau rapi iaitu enam kes BA.2, lima kes BA.5 dan dua kes BA.52. Setakat ini tiada kes BA.4 dilaporkan.

Tambah Khairy, kini negara telah mempunyai rawatan untuk kes-kes baharu dijangkiti Covid-19 iaitu ubat antiviral yang bernama Paxlovid.

“Ubat ini diberikan kepada pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi yang mengalami gejala ringan hingga sederhana.

“Kriteria pesakit Covid-19 yang layak menerima Paxlovid adalah untuk mereka yang umur 18 tahun ke atas, mengalami jangkitan Covid-19 kategori dua dan tiga atau 60 tahun ke atas serta yang mempunyai masalah komorbiditi serius boleh mendapatkan Paxlovid di pusat kesihatan yang disenaraikan,” katanya.

Sementara itu, bekas timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, dua faktor punca peningkatan kes dan kemasukkan ke Unit Ra­watan Rapi (ICU) iaitu daripada penularan sub-varian terbaru Omicron.

Menurut beliau, sub va­rian BA.4 dan BA.5 tidak boleh dicegah hanya dengan bersandarkan kadar vaksin sedia ada selain keberkesanan vaksin yang semakin berkurang selepas enam bulan menerima suntikan

“Kita boleh tengok terdapat peningkatan kemasukan ke ICU. Pertama sekali, ada kemungkinan sub-varian BA.4 dan BA.5 tidak boleh dicegah melalui vaksin atau diseebabkan keberkesanan vaksin menurun.

“Selain itu, keberkesanan vaksin sejak penerimaan dos ketiga juga menurun sebab sudah lebih enam bulan sejak kita semua menerima dos itu.

“Ada baiknya jika mereka yang berisiko mendapatkan dos ketiga supaya mereka lebih terlindung daripada sub-varian terbaru ini. Langkah-langkah pencegahan masih perlu diteruskan,” katanya.