Kenapa DAP Tidak Selesaikan Isu PATI Ketika Memerintah? – Goon | Sabah News

Kenapa DAP Tidak Selesaikan Isu PATI Ketika Memerintah? – Goon | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Tindakan Demokratik (DAP) pun tidak mampu menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika membentuk kerajaan suatu ketika dahulu namun mencemuh kerajaan hari ini yang sedang bertungkus-lumus meyelesaikan isu tersebut.

Ketua Parti Bersatu Sabah (PBS) bahagian Luyang, Goon Thien Shang berkata Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili yang juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) aktif mengemukakan cadangan menangani isu PATI.

“Sejak penubuhan PBS pada 1985, sikapnya dalam menyelesaikan isu PATI tidak berubah…

“Presiden parti juga telah mengemukakan rancangan yang pastinya akan membawa hasil,” katanya.

Beliau membidas kenyataan Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu, Chan Foong Hing bahawa PBS dan UMNO perlu memberikan keutamaan kepada penyelesaian isu PATI dan mengurangkan pergaduhan antara sesama diri sedangkan berada dalam gabungan yang sama.

Goon mengingatkan Chan dan pemimpin DAP lain bahawa masalah PATI di Sabah kini berpunca daripada agenda politik bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir melalui skim kad pengenalan.

Beliau berkata, veteran DAP, Lim Kit Siang turut tahu mengenai hal itu dan ianya juga tidak akan diselesaikan Mahathir meskipun menjawat sebagai pengerusi Pakatan Harapan.

“Ia amat membingungkan untuk beliau (Mahathir) menyokong parti lain ketika dilantik semula sebagai Perdana Menteri pada 2018…

“Apa yang telah dilakukan Pakatan Harapan sepanjang 22 bulan memerintah dan mengapa tidak segera menangani isu pendatang haram di Sabah? Malah kini mereka hanya tahu mengkritik kerajaan sedia ada.

“Memandangkan DAP begitu berkaliber, mengapa mereka tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut apabila berkuasa?,” soal beliau.