TAJUDIN SAHKAN ZAHID PAKSA MP BN SOKONG ANWAR IBRAHIM JADI PERDANA MENTERI | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman…

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata beliau menjadi “saksi hidup” kepada tindakan Zahid Hamidi yang sebelum ini telah mengumpul tandatangan Ahli Parlimen (MP) UMNO untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-9.

Memetik laporan Sinar Harian, Tajudin mengesahkan berlakunya tandatangan surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli MP UMNO secara paksa oleh Zahid untuk menyokong Pengerusi Pakatan Harapan tersebut sebagai Perdana Menteri.

“Mula-mula saya tidak mahu, bila sudah sampai saat hendak masam muka dengan saya, saya tandatangan juga…

“Lebih menyedihkan, bila di luar mesyuarat (MKT), Ahmad Zahid berkata ‘No Anwar, No DAP’. Itu satu pembohongan kepada ahli UMNO.

“Ya, jajaran baharu UMNO-PH memang Zahid ada usahakan, di sebuah hotel di Kampung Baru (Kuala Lumpur), di situlah ahli-ahli Parlimen tandatangan termasuk Bossku (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Nazri Aziz (Ahli Parlimen Padang Rengas).

Tajuddin yang juga Duta Khas Malaysia ke Indonesia yang baru dilantik turut menyarankan agar Zahid Hamidi berundur daripada jawatan Presiden UMNO secara sukarela.

Beliau mencadangkan Ahli Parlimen Bagan itu agar menumpukan dahulu kepada urusan kes mahkamah yang banyak dihadapinya ketika ini.

“Oleh kerana kepimpinan UMNO mencadang saya ditukar supaya dapat menumpu jawatan Duta Besar, saya pula hendak cadangkan Ahmad Zahid tumpu kes mahkamahnya yang banyak dahulu.

“Tidak payah beliau hendak pening kepala uruskan parti UMNO yang besar…

Jangan kerana kes mahkamahnya, akhirnya beliau menjadi liabiliti dan membebankan UMNO,” tegasnya lagi.