Syarikat Pelancongan Semporna Digesa Mendaftar Diri – Jafry | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

SEMPORNA, SABAH – Pengusaha pelancongan di sini yang belum mendaftarkan syarikat mereka dinasihatkan untuk mengemukakan segera permohonan bagi mengelakkan masalah berlaku pada masa akan datang.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin hari ini berkata sekurang-kurangnya 41 syarikat lagi yang masih gagal mengemukakan permohonan lesen.

“Daftarkan segera untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku dan jangan mendatangkan risiko kepada pelancong dengan menggunakan perkhidmatan pelancongan yang tidak berlesen”.

Jelasnya, sekiranya terjadi kemalangan terutama di laut, seperti bot karam ia bukan saja beri kesan kepada pelancong malah pihak berkuasa juga menghadapi masalah ekoran tiada rekod maklumat pengusaha, bot, serta pelancong.

Hasrat Kementerian adalah untuk memastikan pelancong dilindungi dan mendapatkan khidmat pelancongan yang telus…

“Saya yakin dan percaya, kejayaan atau kegagalan sesebuah destinasi pelancongan bergantung kepada kebolehan kita dalam menyediakan persekitaran selamat dan terjamin kepada pelancong,” kata beliau dalam satu lawatan kerja di daerah itu bermula semalam.

Di samping itu, satu sesi libat urus kementerian bersama pengusaha pelancongan Semporna turut diadakan untuk tujuan mengetahui perkembangan pelancongan sekaligus mengenalpasti masalah-masalah yang mereka hadapi.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Sr Mohd Yusrie Abdullah, dan Pegawai Daerah Semporna, Juraimin Jadil.

Sementara itu, berhubung dengan permasalahan yang disuarakan oleh pengusaha pelancongan di jeti pelancongan Semporna, yang terpaksa menunggu lama untuk pemeriksaan sebelum pelepasan ke pulau akan segera ditangani.

Beliau mencadangkan agar satu usaha bersepadu dilaksanakan diantara Majlis Daerah Semporna, pihak berkuasa, dan pengusaha pelancongan untuk memastikan perjalanan yang selamat, iaitu lulus dari segi spesifikasi undang-undang dan perjalanan lancar mengikut masa yang ditetapkan.

“Kita ada peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi, oleh itu dengan tindakan bersepadu dan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan, saya yakin semua permasalahan pasti dapat diselesaikan,” tambahnya.