Cubaan Seludup Keluar 305 Paket Minyak Subsidi Digagalkan Di Sandakan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





SANDAKAN, SABAH – Percubaan untuk seludup keluar komoditi yang merunsingkan poket rakyat iaitu paket minyak subsidi, berjaya dikekang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Maritim Malaysia Zon Sandakan menemui sebuah bot yang berdaftar atas lesen perikanan tersorok dan bertambat pada batang pokok bakau berhampiran Sungai Besar Tanjung Aru, sini, pada jam 12.20 tengah hari Sabtu.

Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot yang ditemui tanpa pemilik itu dipercayai ditinggalkan setelah menyedari kehadiran anggota penguatkuasa melakukan rondaan di sekitar kawasan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa muatan 18 kotak besar berisi 305 paket minyak masak bersubsidi seberat satu kilogram setiap paket dan disyaki untuk diseludup keluar ke negara jiran.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk minyak masak bersubsidi, bot dan enjin sangkut sekitar RM21 ribu…

“Kesemua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot, dalang serta pelaku disebalik kegiatan penyeludupan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.