Azman Ingatkan Graduan UMS Untuk Tidak Terlibat Dengan Amalan Rasuah | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Azman menyampaikan skrol ijazah kepada graduan UMS…

KOTA KINABALU, SABAH – Para graduan perlu menerapkan nilai-nilai yang berkualiti supaya tidak terjerumus ke dalam kancah rasuah.

Penasihat Kehormat Ambank Group merangkap Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tan Sri Azman Hashim berkata, tiada tolak ansur harus diberikan kepada rasuah kerana perkara itu hanya merugikan negara.

“Rasuah sudah umpama menjadi endemik dalam kehidupan dan budaya di Malaysia…

“Isu seperti penyeludupan minyak, manusia dan pembelian kad pengenalan serta pasport haram banyak dikaitkan dengan pihak tertentu.

“Terlalu banyak ‘telur busuk’ dalam sesebuah organisasi dan banyak kes yang masih menunggu perbicaraan mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-23, di sini, kelmarin.

Menurut Azman, graduan perlu mengambil contoh mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang berhasil menjadikan Singapura dengan kes rasuah yang terendah.

“Banyak impak negatif apabila rasuah dibiarkan berleluasa. Antaranya, ia boleh menyebabkan negara jatuh bankrap atau mempunyai keterhutangan yang melampau seperti yang berlaku pada negara Venezuela…

“Justeru, saya ingin mengingatkan para graduan agar tidak bertoleransi dalam sebarang bentuk penyelewengan kuasa dan amalan rasuah walau apa juga bidang yang diceburi selepas ini,” katanya.

Pada majlis itu Azman menyampaikan skrol ijazah kepada graduan daripada Sidang 2 hingga Sidang 4 yang berlangsung di Dewan Canselor UMS.