Armada Tawau Johan Futsal Silaturahim Piala Ketua Armada Sabah | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU, SABAH – Pasukan Futsal Armada Bahagian Tawau muncul sebagai johan Pertandingan Futsal Silaturahim (Tertutup) Piala Ketua Armada Negeri Sabah yang berlangsung di Suria Futsal- Futsal Suria-Jesselton Point, semalam.

Pertandingan selama 2 hari, melibatkan 25 pasukan seluruh Sabah menyaksikan pasukan Tawau membawa balik hadiah wang tunai RM5000, trofi, medal dan hamper.

Naib johan dimenangi oleh pasukan Futsal Armada Bahagian Keningau, dengan membawa balik hadiah wang tunai RM3000, trofi, medal dan hamper.

Tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Armada Bahagian Kudat, membawa pulang hadiah wang tunai RM2000, trofi, medal dan hamper.

Manakala tempat keempat disandang oleh Pasukan Futsal Armada Bahagian Putatan, memenangi hadiah Wang tunai RM1000, trofi, medal dan hamper.

Pemain terbaik disandang oleh Mohd Nazri Farhan dari Tawau, penjaring terbaik dimenangi oleh Mohammad Fazrie Killy dari Bahagian Kudat. Manakala penjaga gol terbaik ialah Sarman bin Hassan dari Bahagian Tawau.

Naib Ketua Armada Bersatu Sabah, Encik Rafie Robert mewakili Ketua Armada Negeri, Encik Fairuz Renddan merasmikan penutupan pertandingan itu dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Rafie dalam ucapannya mengucapkan syabas dan tahniah kepada 25 Armada Bahagian seluruh Sabah yang mengambil bahagian dan memberi sokongan terhadap pertandingan itu.

Katanya, pertandingan itu akan terus diadakan di masa hadapan demi merapatkan lagi hubungan silaturahim diantara pemimpin dan ahli-ahli Armada seluruh Sabah.

“Kehadiran ahli-ahli Armada menunjukkan sikap terpuji yang menyokong kepimpinan negeri dan mempunyai kesatuan yang kuat”…

“Armada Sabah perlu bersatu hati dan menjadi tunjang kekuatan parti yang di pimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor selaku Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah”, katanya.

Rafie juga mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Biro Sukan Armada Negeri Sabah, Encik Arziz Arfizy Rusmani dan Ketua Armada Bahagian Silam, Ar Razee bin Abd Ham selaku penaja pertandingan itu.