900 Gram Syabu Dirampas Di Perairan Labuan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





Nudin menunjukkan dadah dipercayai jenis syabu yang disorok dalam bekas minyak hitam – Foto Ihsan Maritim Malaysia…

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan telah merampas satu bungkusan dadah disyaki jenis syabu bersama sebuah bot gentian di perairan Menumbok, Sabah, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam penugasan rondaan mengesan sebuah bot yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 12.30 pagi semalam.

“Sebaik dihampiri, bot terbabit bertindak memecut laju melarikan diri menuju ke kawasan Tanjung Kelias, Menumbok…

“Suspek berjaya meloloskan diri namun hasil pencarian di kawasan sekitar menemui sebuah bot gentian kaca yang ditinggalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil penggeledahan berjaya menemui dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat lebih kurang 900 gram disembunyikan di dalam bot terbabit.

Menurunya Nudin, dadah beserta bot gentian kaca itu dibawa ke Jeti Maritim Labuan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Usaha mengesan pemilik serta dalang yang terlibat akan dijalankan bagi memastikan pelaku jenayah dikenakan hukuman sewajarnya.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan ini boleh salurkan maklumat kepada 087-427999,” tambahnya.