Lima Graduan Terima Anugerah BEM | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU, SABAH – Lima graduan cemerlang Fakulti Kejuruteraan (FKJ) telah dianugerahi Board of Engineers Malaysia (BEM) 2021 di Dewan Bankuasi, Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena Majlis Konvokesyen UMS kali ke-23, kelmarin.

Anugerah telah disampaikan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin kepada Goh Wang Siang (PNGK 3.94), Program Kejuruteraan Awam; Fong Seng Yau (PNGK 3.88), Program Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik; Gan Siew Cu (PNGK 3.87), Program Kejuruteraan Kimia; Lee Wai Li (PNGK 3.89), Program Kejuruteraan Mekanikal dan Abraham Ninian Ejin (PNGK 3.67), Program Kejuruteraan Elektronik Komputer.

Setiap graduan membawa pulang hadiah wang tunai RM400 dan merupakan graduan yang memperoleh PNGK 3.60 dan ke atas serta memiliki sahsiah yang baik sebagai penghargaan di atas pencapaian mereka dalam bidang kejuruteraan.

Menurut Goh, 25, beliau sangat terkejut kerana tidak dimaklumkan berkenaan anugerah ini sehingga pada Majlis Konveksyen Sidang 2 yang berlangsung sabtu.

Graduan berasal dari Penampang, Sabah, kini memulakan langkah dalam bidang kejuruteraan di Mitrajaya Holdings yang bertempat di Petaling Jaya Selangor sebagai jurutera projek.

“Saya juga mengambil inspirasi daripada bapa saya iaitu John Goh, 60, kerana saya ingin mengikuti jejak langkah beliau,” katanya…

Fong, 25, yang kini bekerja di ViTrox Corporate Berhad di Penang berkata, beliau juga sangat terkejut kerana tidak menerima sebarang berita dan hanya mengetahui berkenaan anugerah ini semasa Sidang Dua dijalankan.

“Saya sangat meminati subjek sains semasa masih kecil, meminati subjek fizik ketika berada di sekolah menengah dan suka meneroka peralatan elektrik,” katanya.

Tambah graduan berasal dari Perak ini, beliau mula memasuki Program Elektrik dan Elektronik UMS, setelah pengajiannya tamat dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

 

*Tamat*