Laporan asal audit dibentang kepada PAC jika tiada mesyuarat pada 24 Feb: Arul Kanda

Kongsikan Berita Ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa laporan akhir asal audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mempunyai tera air 09 akan dihantar kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) jika mesyuarat pada 24 Feb 2016 tidak berlangsung.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy(gambar), 46, berkata beliau telah menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Abdul Razak sehari sebelum itu yang meminta beliau menghadiri mesyuarat tersebut.

Sebelum ini, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang memberi keterangan bahawa laporan awal audit khas 1MDB yang mempunyai tera air 09 sudah disiapkan menjelang 24 Feb 2016 dan akan diserahkan kepada PAC jika tiada permintaan untuk memindanya daripada Najib.

Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, Arul Kanda berkata Najib telah memberikan beberapa alasan kenapa beliau perlu menghadiri mesyuarat itu.

“Antaranya adalah untuk mempertahan kepentingan syarikat dan berkaitan skop pengauditan Jabatan Audit Negara dalam menentusahkan akaun 1MDB. Beliau bimbang kandungan laporan itu akan diputar belit daripada perspektif politik,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah dimaklumkan bahawa seorang juruaudit kerajaan Nor Salwani Muhammad telah menyimpan salinan terakhir draf laporan audit dalam simpanan Jabatan Audit Negara meskipun diarah memusnahkan semua salinan laporan itu.

Seorang lagi saksi iaitu bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad turut memberi keterangan bahawa beliau membuat keputusan untuk tidak memusnahkan salinan laporan asal yang diberikan oleh Nor Salwani kepadanya kerana mengandungi bukti penting mengenai dana kekayaan negara itu.

Susulan pertukaran kerajaan daripada Barisan Nasional kepada pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018, beliau telah menyerahkan salinan laporan audit 1MDB dengan tera air 09 itu kepada Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Salinan laporan itu menjadi antara bukti penting yang digunakan oleh pendakwaan dalam kes laporan audit terhadap Najib dan Arul Kanda.

Pada prosiding hari ini, semasa disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, Arul Kanda berkata sepanjang proses audit itu, beliau sendiri berdepan pelbagai kesukaran seperti mendapatkan dokumen daripada pengurusan 1MDB.

Muhammad Shafee: Adakah anda maklumkan perkara ini kepada Datuk Seri Najib?

Arul Kanda: Ketika itu saya tidak mempunyai isu spesifik yang boleh diketengah atau tonjolkan sama ada dari segi penipuan atau salah urus.

Bagaimanapun, saya mempunyai beberapa kebimbangan umum yang dicetuskan daripada penulisan artikel dan laporan berita. Saya berpendapat siasatan lanjut perlu dibuat malah saya telah mencadangkan kepada Datuk Seri untuk membawa masuk pihak keiga yang bebas, dalam kes ini Jabatan Audit Negara untuk menjalankan semakan.

Muhammad Shafee: Apa reaksi PM (Najib)?

Arul Kanda: Ketika mengadakan perbincangan itu, beliau kata beliau akan pertimbangkan, beliau tidak kata ya atau tidak. Dalam tempoh seminggu atau dua minggu, terdapat pengumuman oleh Jabatan Audit Negara yang meminta kami menentusahkan akaun 1MDB.

Arul Kanda memberi keterangan pada perbicaraan Najib yang berdepan pertuduhan meminda laporan akhir audit 1MDB selepas mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memanggilnya sebagai saksi.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda didakwa bersubahat melakukan pindaan itu bagi mengelakkan Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung pada 4 Julai ini.-Bernama