PM Harap Pelancaran Satelit MEASAT-3d Dapat Bantu Rapatkan Jurang Digital | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelancaran satelit MEASAT-3d diharap dapat membantu merapatkan jurang digital, seterusnya menarik lebih ramai anak muda untuk menceburi bidang aeroangkasa.

Menerusi catatan di Facebook rasmi beliau, pelancaran satelit itu diharap dapat meingkatkan keupayaan capaian Internet di kawasan bandar dan sub-luar bandar di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Hari yang penuhbersejarah, Measat Global Berhad (Measat) telah melancarkan satelit Measat-3d di Kourou, French Guiana,” katanya…

Terdahulu, Perdana Menteri hadir ke Dewan Merdeka, Aras 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini bagi menyaksikan secara langsung pelancaran MEASAT-3d dari Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guiana, Amerika Selatan pada jam 5.50 pagi waktu Malaysia (6.50 petang waktu tempatan 22 Jun).

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan timbalannya, Datuk Zahidi Zainal Abidin serta beberapa menteri kabinet.

Satelit kelapan yang dianggar melibatkan kos RM1.2 bilion dengan jangka hayat 18 tahun itu dijangka mampu merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Menerusi pelancaran satelit itu, Malaysia juga dapat memperkukuhkan kehadirannya dalam era digital berteraskan kepada teknologi talian tetap, mudah alih dan satelit tanpa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat di negara ini selain meningkatkan perkhidmatan perhubungan kepada Malaysia dan negara-negara serantau.

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi lain juga boleh menggunakan satelit berkenaan untuk menawarkan perkhidmatan data, suara dan video kepada tiga hingga lima peratus populasi yang belum lagi diliputi oleh sambungan fiber atau jalur lebar tanpa wayar seperti yang ditawarkan Measat melalui perkhidmatan jalur lebar satelit CONNECTme NOW.

Satelit Measat-3d yang merupakan jenis Geostationary Equatorial Orbit atau GEO mempunyai tapak liputan yang luas dan berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang pantas dan menyokong aliran tinggi data dikenali sebagai High Throughput Satellite (HTS).

HTS merupakan antara perkhidmatan penting dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar tinggi terutamanya di kawasan pedalaman.