KAD PENGENALAN DIGITAL WARGA ASING AKAN DIKELUARKAN DI NEGERI SABAH

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah meneruskan rancangan mengeluarkan pengenalan digital kepada warga asing yang berada di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, perkara itu diputuskan selepas mendapat persetujuan pelbagai dalam sesi townhall hari ini.

Dalam sesi itu, Jawatankuasa Khas mengenai Pekerja serta Warga Asing Tanpa Dokumen Sah mendapat sokongan 89 peratus daripada peserta yang hadir bagi rancangan mengeluarkan pengenalan digital kepada warga asing di Sabah.

Peserta yang hadir dalam sesi townhall itu termasuk pemimpin politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan pemimpin masyarakat.

Jeffrey yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas mengenai Pekerja serta Warga Asing Tanpa Dokumen Sah itu berkata, pengeluaran pengenalan digital itu akan membolehkan data warga asing dimasukkan dalam satu sistem bersepadu yang akan dikawal selia oleh Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan.

Beliau berkata, pengeluaran pengenalan digital itu akan membantu menyelesaikan masalah warga asing yang sudah berlanjutan di Sabah sejak lebih 30 tahun lalu.

“Kita akan mengambil masa selama tiga hingga enam bulan bagi melaksanakan pengumpulan data dan seterusnya memberi identiti kepada warga asing yang berada di Sabah.

“Pada peringkat permulaan, kita mewujudkan satu bank data digital secara bersepadu yang boleh dikemas kini setiap masa,” katanya.

Jeffrey berkata, pengenalan digital itu mungkin akan dikenali dalam pelbagai nama seperti kad warga asing, kad bukan warganegara mahupun kad digital.

Walau bagaimanapun, belum ada sebarang keputusan mengenai nama yang akan diguna pakai untuk pengenalan digital warga asing berkenaan.

Pengenalan digital itu membabitkan warga asing yang memegang dokumen standard yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri sebelum ini iaitu Kad Burung-Burung, Sijil Banci dan IMM13.

Mengulas lanjut katanya, persetujuan yang dicapai melalui townhall itu akan dibentangkan kepada Kabinet Negeri sebelum dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri.

Beliau turut melahirkan kebimbangan, pengeluaran pengenalan digital itu akan menjadi satu isu politik yang mengundang ketakutan dalam kalangan rakyat Sabah.

Sekiranya isu warga asing ini tidak diselesaikan, dikhuatiri jumlah mereka akan menjadi lebih ramai hingga menyebabkan keadaan sukar dikawal.

“Itu sebabnya kita perlu menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh. Kini, kerajaan Persekutuan telah memberi peluang untuk menyelesaikan masalah ini maka, kita perlukan sokongan semua pihak termasuk pembangkang,” katanya.

Sumber asal – https://www.borneotoday.net/pengenalan-digital-warga-asing-akan-dikeluarkan-di-sabah/