JKR Akan Membina Lencongan Sementara Untuk Jalan Ranau – Kiulu Yang Runtuh

Kongsikan Berita Ini
Joniston memantau tahap kerosakan kilometer 19.2 Jalan Ranau – Kiulu yang runtuh pagi tadi…

TUARAN, SABAH – Kerja-kerja pembinaan laluan lencongan sementara di Kilometer 19.2 Jalan Ranau-Kiulu yang terputus akibat tanah runtuh akan dilaksanakan esok.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai, telah melawat lokasi jalan runtuh petang tadi bagi meninjau tahap kerosakan.

Dalam lawatan tinjauan itu, beliau diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, Datuk Ali Ahmad Hamid, mengenai kerja-kerja pembaikan. Turut hadir, jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah Tuaran, Farini Awang.

“Pihak JKR akan membina satu laluan lencongan sementara untuk semua jenis kenderaan…

Datuk Jonsiton Bangkuai mendengar taklimat daripada Pengarah JKR Sabah Datuk Ali Ahmad Hamid (kiri)…

Kerja-kerja itu dijangka mengambil masa beberapa hari untuk siap. Kerja penyelesaian jangka panjang juga sedang giat dirancang,” kata Joniston, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu.

“Kami telah segera memaklumkan pengarah JKR dan jurutera daerah sebaik sahaja menerima maklumat kejadian tanah runtuh tersebut. Kami mengucapkan terima kasih atas tindakan pantas pihak JKR menutup segera jalan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini, ” tambahnya.

Menurut Ali, pengguna jalan raya boleh menggunakan Jalan Tamparuli-Ranau dan Jalan Pahu-Sinulihan yang tidak berturap sebagai laluan alternatif buat masa ini sehingga lencongan sementara selesai dibina.

Tanah runtuh berskala kecil dilaporkan berlaku di tebing Jalan Pukak-Pahu-Nulu pada 13 Mei lalu akibat hujan yang berterusan. Kejadian itu menyebabkan satu arah laluan berkenan ditutup bagi tujuan keselamatan.

Petang semalam, satu tanah runtuh besar dilaporkan berlaku di lokasi yang sama, yang akhirnya menyebabkan pihak JKR menutup kedua-dua arah laluan itu.