Ewon Beri Bayangan Akan Tanding Jawatan Presiden UPKO

Ewon Beri Bayangan Akan Tanding Jawatan Presiden UPKO

Kongsikan Berita Ini

KOTA BELUD: Naib Presiden Upko, Ewon Benedick memberi bayangan akan bertanding jawatan tertinggi parti itu dalam pemilihan akan datang.

Katanya, beliau bersedia menawarkan rekod kepimpinan dan perkhidmatannya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian untuk ahli membuat keputusan.

“Saya tidak mencabar sesiapa, tetapi saya ingin menawarkan rekod kepimpinan saya di Kadamaian kepada ahli-ahli parti.

“Sekiranya mereka beranggapan rekod ini boleh diangkat menjadi inspirasi baharu kepada parti dan jika mereka percaya masanya sudah tiba, saya bersedia mengambil cabaran tersebut.

“Banyak spekulasi mengatakan saya ada pengumuman hari ini, maka terpulanglah kepada ahli-ahli parti, khususnya di bahagian untuk menterjemahkan kenyataan saya hari ini dan saya bersedia menyahut cabaran sekiranya bahagian mahu saya menerajui parti ini.”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat agung tritahunan Upko Bahagian Kota Belud di Taginambur hari ini. Mesyuarat itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden Upko, Donald Peter Mojuntin.

Ewon berkata, pimpinan Upko perlu mendengar pandangan dan teguran ahli serta rakyat, seterusnya mengambil tindakan progresif mengenainya.

“Jika majoriti ahli parti mahukan penjenamaan parti dipakejkan dengan transisi kepimpinan, maka kita harus peka dan ambil tindakan progresif berkaitannya.

“Kita tidak boleh bertanding dalam pilihan raya jika ahli parti di bahagian berpecah dan meninggalkan parti. Kita tidak akan dapat bersaing dengan blok politik kerajaan jika kita tidak berupaya mencetuskan inspirasi baharu yang dapat membina semula sokongan kepada parti ini.”

Beliau berkata, kenyataan itu cukup jelas untuk diterjemahkan oleh ahli Upko dalam pemilihan parti yang akan diadakan tahun ini.

Sebelum ini, FMT melaporkan Ewon bakal mencabar Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau bagi merebut jawatan presiden Upko.

Sumber yang rapat dengan Ewon berkata, beliau berhasrat bertanding jawatan presiden selepas mendapat sokongan, terutama pemimpin dan ahli sayap parti, iaitu Pemuda, Wanita dan generasi muda (GEM) Upko. – FMT