Kami Ini Melompat Parti Untuk Kebaikan Rakyat – Mohammadin Ketapi

Kongsikan Berita Ini

LAHAD DATU: Rang Undang-Undang RUU Antilompat Parti tidak wajar dilaksanakan dan tidak munasabah untuk dibahaskan.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammadin Ketapi.

Beliau menjelaskan bahawa setiap individu mempunyai hak kebebasan bersuara dan memilih seperti di negara maju yang lain.

Beliau ditemui semasa merasmikan sambutan Pesta Kaamatan bagi kawasan Segama, Lahad Datu pada petang Ahad.

Dengan nada tegas, Mohammadin menyatakan beliau tidak bersetuju dengan RUU Antilompat Parti, bukan kerana beliau juga telah ‘melompat’ tetapi ia adalah hak wakil rakyat.

“Wakil rakyat ini berhijrah ke lain parti untuk memperkembang dan menyelesaikan masalah rakyat. Kalau pemimpin macam kita ini melompat demi rakyat, bah.

“Kalau di negara lain, ini (soal) bercakap tentang hak kebebasan dan sebagainya. Kita di Malaysia ini pun bercakap pasal hak kebebasan dan sebagainya. Tetapi orang berhijrah demi kepentingan rakyat dan negara dihalang dan (isunya) dibentangkan,” ujar beliau.

Untuk rekod, Mohammadin merupakan antara salah seorang wakil rakyat dari Parti Warisan yang telah menukar haluan ke parti lain pada November 2021, iaitu dengan menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) ketika ini.

Dalam pada itu, beliau pula bersetuju untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) pada bila-bila masa dan keputusan itu, menurutnya, terpulang kepada Perdana Menteri.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undang Negeri Segama turut mempertimbangkan untuk bertanding dalam PRU akan datang jika permintaan masih tinggi dan kondisi kesihatan mengizinkan. – AWANI