Fenomena Pemanasan Global Boleh Cetus Virus Baharu | Sabah News

Fenomena Pemanasan Global Boleh Cetus Virus Baharu | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Pemanasan global meningkatkan risiko penularan virus secara ‘rentas spesies’…

WASHINGTON, AS – Fenomena perubahan iklim dunia terutamanya pemanasan global boleh menyebabkan beribu-ribu virus baharu ‘melompat’ daripada haiwan kepada manusia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Amaran itu didedahkan oleh saintis-saintis dan mengatakan bahawa fenomena itu, meningkatkan kemungkinan berlakunya pandemik lain selepas Covid-19 mendatangkan malapetaka di seluruh dunia sejak virus itu dikesan di China pada akhir 2019.

Kajian baharu mengenainya yang diterbitkan dalam jurnal Nature mendedahkan bahawa pemanasan global meningkatkan risiko penularan virus secara ‘rentas spesies’. Diramalkan jika suhu dunia meningkat sebanyak 2 darjah Celsius, sekurang-kurangnya 15,000 penularan virus rentas spesies dijangka berlaku menjelang 2070.

Menurut kajian itu, perubahan persekitaran akibat pemanasan global akan mendorong sebilangan spesies untuk berpindah…

Proses perpindahan itu akan menyaksikan pelbagai spesies hidupan membawa bersama parasit dan patogen ke persekitaran baharu yang akan menimbulkan ancaman kepada kesihatan global. Ini terbukti apabila beberapa wabak semasa berpunca daripada hidupan liar.

“Perubahan iklim dan penggunaan tanah akan memberi peluang kepada virus untuk ditularkan antara spesies hidupan liar,’’ demikian menurut kajian itu.

Pakar ekologi penyakit Universiti Georgetown, Gregory Albery selaku pengarang bersama kajian berkenaan berkata, apabila dunia berubah, penyakit juga akan berubah.

“Kajian ini mengemukakan lebih banyak bukti bahawa dekad akan datang bukan sahaja lebih panas tetapi membawa lebih banyak penyakit…

“Kami menunjukkan keadaan yang berpotensi memunculkan penyakit sehingga mengancam kesihatan haiwan pada masa hadapan dan mungkin juga memberi kesan kepada manusia,’’ jelas Albery.

Tambah beliau, perubahan iklim menyebabkan interaksi antara spesies yang berisiko menyebarkan virus.

“Ini sedang berlaku, ia tidak boleh dicegah dan kita perlu mengambil langkah untuk membina infrastruktur kesihatan bagi melindungi populasi haiwan dan manusia,’’ katanya.

Albery berkata, walaupun tindakan drastik dilakukan untuk menangani kenaikan suhu semasa, ia tidak mencukupi untuk menghentikan ancaman tersebut.

Pergerakan spesies secara besar-besaran akibat perubahan iklim membawa kepada pertemuan berbilang spesies yang mencipta peluang untuk virus baharu dipindahkan.

Menurut kajian sama, kepadatan populasi manusia di rantau Asia dan Afrika menyebabkan risiko penyebaran virus antara spesies meningkat sehingga 4,000 kali ganda.

“Kami meramalkan bahawa pelbagai spesies hidupan akan bergabung dalam kombinasi baharu di kawasan yang tinggi biodiversiti dan  kepadatan populasi seperti Asia dan Afrika. Ini mendorong kepada penyebaran virus rentas spesies yang baharu,’’ demikian menurut kajian itu.