ERL Lancar Promosi Jom Cuti-Cuti Malaysia | Sabah News

ERL Lancar Promosi Jom Cuti-Cuti Malaysia | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KUALA LUMPUR – Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) hari ini melancarkan promosi baharu Jom Cuti-Cuti Malaysia eksklusif untuk rakyat Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia.

Menurut kenyataan ERL promosi itu menawarkan penjimatan RM10 untuk perjalanan ke lapangan terbang (airport transfer) KLIA Ekspres bagi warganegara yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau KLIA2 menerusi penerbangan domestik, bermula hari ini hingga 30 Nov ini.

“Mereka boleh mendaftar secara dalam talian untuk mendapatkan diskaun tersebut dan pamerkan bukti MyKad/MyKid serta tiket penerbangan domestik untuk setiap penumpang di kaunter tiket bagi tujuan pengesahan sebelum menaiki tren,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, ketua pegawai ekskutif ERL Noormah Mohd Noor berkata, “Kami teruja diberi peluang untuk bekerjasama dengan MOTAC dan Tourism Malaysia sebagai sokongan kepada inisiatif kerajaan bagi merangsang pelancongan domestik negara. Seperti kebanyakan perniagaan berkaitan perjalanan, ERL telah terjejas teruk akibat pandemik.”

Tawaran Jom Cuti-Cuti Malaysia terhad kepada 24,875 pelanggan berdaftar pertama dan setiap pelanggan layak untuk sekali diskaun RM10 sepanjang tempoh kempen itu.

Potongan RM10 boleh digunakan untuk tiket Standard Single dan Return Fares, Pakej Keluarga, Group Saver dan pakej-pakej KL TravelPass.

Bagi maklumat lanjut mengenai tawaran Jom Cuti-Cuti Malaysia dan promosi lain, jadual penuh tren dan perkembangan terkini perkhidmatan, layari www.KLIAekspres.com atau KLIA Ekspres Facebook.

– BERNAMA