Berwaspada Walaupun Banyak Kelonggaran SOP – Amisah | Sabah News

Berwaspada Walaupun Banyak Kelonggaran SOP – Amisah | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

RANAU, SABAH – ADUN dilantik, Datuk Amisah Yassin, menasihatkan masyarakat setempat supaya mematuhi segala arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan khususnya musim perayaan ini.

 

Beliau berkata masyarakat digalakkan untuk terus berhati-hati kerana virus COVID-19 masih wujud di sekeliling ketika banyak kelonggaran SOP dalam langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 diberikan.

 

“Kelonggaran semakin banyak diberikan, tapi jangan kita menganggap tidak ada lagi bahaya di sekeliling.

 

“COVID-19 masih ada dan kita tiada pilihan terpaksa hidup bersama COVID-19, oleh itu perlu berhati-hati,” katanya.

 

Tambah Amisah yang juga Naib Ketua Srikandi Bersatu Sabah, walaupun kelonggaran diberikan, tetapi kebebasan itu tidak bermakna rakyat tidak lagi perlu melakukan kawalan kendiri bagi melindungi keluarga, diri sendiri dan masyarakat.

 

“Walaupun bebas di kawasan terbuka, tapi jika berada di kawasan sesak, saya galakkan pemakaian pelitup muka walaupun tidak menjadi kesalahan, jika tidak memakai bagi menjaga kepentingan diri serta keselamatan,” katanya semasa majlis penyerahan sumbangan raya kepada 56 golongan asnaf di Pejabat Bersatu Ranau semalam.

 

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan beberapa kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 berkuat kuasa 1 Mei.

 

Antaranya, pemakaian pelitup muka di luar bangunan akan menjadi pilihan bukan lagi satu kewajipan, selain tidak wajib mengimbas aplikasi MySejahtera untuk memasuki premis.

 

 

Dalam majlis itu, seramai 56 ibu tunggal, warga emas dan keluarga daif menerima sumbangan bakul makanan dan duit raya.

 

Amisah menyampaikan sumbangan duit raya dan bakul makanan kepada salah seorang penerima golongan asnaf…

 

Sepanjang bulan Ramadan ini Srkandi Bersatu Ranau telah menyantuni golongan kurang bernasib baik di sekitar daerah.

 

Beliau yang juga Ketua Srikandi Bersatu bahagian Ranau memberitahu seperti mana perayaan-perayaan lain, contohnya Pesta Kaamatan, Tahun Baru Cina dan Deepavali, golongan kurang bernasib tidak dipinggir dari menerima sumbangan sempena bulan Ramadan ini.

 

Beliau turut meminta pertubuhan bukan kerajaan atau NGO untuk menjadikan aktiviti membantu golongan kurang bernasib baik dan tidak terhad kepada perayaan tertentu sahaja sebaliknya menjadikn ia sebagai budaya sepanjang tahun.

 

“Kita sememangnya gembira dengan budaya beramal dengan penganjuran begitu banyak program bagi menyalur bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal, asnaf, orang berkeupayaan istimewa dan warga emas,” ujar beliau.