Malaysia Yakin Mampu Penuhi Permintaan Global Untuk Minyak Sawit | Sabah News

Malaysia Yakin Mampu Penuhi Permintaan Global Untuk Minyak Sawit | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar sekadar hiasan…

KUALA LUMPUR – Malaysia masih mampu membekalkan permintaan global bagi minyak sawit berikutan larangan Indonesia terhadap eksport komoditi itu bermula pada Khamis, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, industri tempatan boleh meningkatkan pengeluaran dan produktiviti minyak sawit kerana pintu sempadan sudah dibuka semula dan buruh asing mula masuk secara beransur-ansur.

“Kementerian juga telah meneruskan program biodiesel minyak sawit B20, sekarang kita berusaha meneruskan penggunaan biodiesel,” katanya…

Pada Rabu, Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto mengumumkan larangan eksport semua produk minyak sawit mulai 28 April, 2022.

Produk itu ialah minyak sawit mentah, minyak sawit merah; olein sawit yang ditapis, diluntur, dinyahbau (RBD); efluen kilang sawit (POME) dan minyak masak terpakai untuk memastikan ia dapat memenuhi keperluan domestik dalam persekitaran kenaikan harga.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata, kementerian akan bertemu Kesatuan Eropah (EU) pada 8 Mei depan untuk membincangkan isu berkaitan buruh paksa dan isu minyak sawit bagaimanapun ia masih belum mendapat tarikh untuk berjumpa dengan wakil daripada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, mengulas mengenai pasaran getah, beliau meluahkan keyakinan bahawa permintaan terhadap sarung tangan getah akan kekal tinggi memandangkan masyarakat ketika ini mengutamakan kebersihan dengan menggunakan sarung tangan getah secara berterusan.

Pada masa sama, pemain industri juga harus memastikan pasaran getah mengekalkan kedudukan terbesar di seluruh dunia dan memastikan pengeluaran dan kualiti kekal kukuh dengan pengurusan yang berkesan.

“Kita menghasilkan kira-kira 350 bilion keping sarung tangan getah untuk pasaran global dan kita harus melindungi industri ini dan memastikan ia berjalan dengan cekap daripada segi teknologi dengan sistem automasi yang canggih sambil mempunyai bekalan lateks yang mencukupi.

“Ini kerana kita melihat China mampu membina kemudahan pengeluaran sarung tangan yang besar hanya dalam tempoh sembilan bulan selepas pandemik Covid-19 dan kita mesti memastikan Malaysia kekal sebagai pengeluar terbesar di seluruh dunia,” katanya.