Penerbangan Terus Dari Korea Ke Sabah Dalam Masa Dua Bulan  | Sabah News

Penerbangan Terus Dari Korea Ke Sabah Dalam Masa Dua Bulan  | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

SEOUL – Beberapa syarikat penerbangan yang berpangkalan di Korea tidak sabar-sabar untuk menyambung semula penerbangan terus ke Kota Kinabalu dengan secepat mungkin berikutan pembukaan sempadan antarabangsa.

Mereka menyatakan minat mereka untuk memulakan semula operasi penerbangan ke Ibu Negeri Sabah semasa beberapa siri pertemuan di sini dengan delegasi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) diketuai Pengerusinya Datuk Joniston Bangkuai.

Delegasi STB baru-baru ini telah bertemu dengan pegawai pengurusan tertinggi dari Jin Air, Air Busan, Jeju Air dan Air Seoul, yang kesemuanya mengendalikan penerbangan terus ke Kota Kinabalu sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.

Jadual yang padat selama dua hari pada 25 sehingga 26 April lalu disertai Ketua Pegawai Eksekutif STB, Noredah Othman dan Ketua Pegawai Pemasaran, Tay Shu Lan.

Kumpulan itu bertemu dengan eksekutif tertinggi dua syarikat pelancongan terkemuka Korea, Hana Tour dan Mode Tour, yang kedua-duanya telah mula memasarkan Sabah sebagai destinasi pilihan.

Sejurus selepas tiba pada 25 April, pasukan STB mengadakan perbincangan dengan Pengarah Tourism Malaysia Seoul, Shaharuddin Yahaya, diikuti dengan pertemuan dengan eksekutif Air Busan dan Hana Tour.

Pada 26 April, STB mengadakan turut mengadakan perjumpaan dengan Jin Air, Air Seoul, Jeju Air dan Mod Tour.

“Kami mengadakan perbincangan yang membuahkan hasil dengan pengendali-pengendali syarikat penerbangan Korea…

“Mereka menyatakan harapan untuk melancarkan penerbangan terus ke Kota Kinabalu dalam tempoh dua bulan akan datang,” kata Joniston, yang juga Penolong Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Syarikat penerbangan dan syarikat pelancongan juga memaklumkan pihak STB bahawa berdasarkan maklum balas daripada pelancong Korea, Sabah adalah antara destinasi percutian pilihan utama mereka.

Dengan itu, warga Korea juga berharap kerajaan dapat meringankan beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19, terutamanya syarat bagi pengembara yang telah divaksin sepenuhnya untuk mengambil ujian RTK atau PCR semasa ketibaan.

Dalam pada itu, Noredah berkata Korea merupakan negara pertama yang dilawati STB bagi mengadakan hubungan dengan syarikat penerbangan dan syarikat pelancongan selepas pembukaan sempadan antarabangsa pada 1 April lalu.

Sebelum pandemik, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menerima 67 penerbangan mingguan terus dari Korea dikendali lima syarikat dari Seoul, Busan dan Muan di Korea Selatan.

Korea Selatan menyumbang ketibaan antarabangsa kedua paling penting ke Sabah dengan 396,660 pelawat pada 2019…

“Korea adalah pasaran utama bagi Sabah dan kami melihat potensi lebih ramai warga Korea melawat negeri kami selepas pandemik,” kata Noredah sambil menambah bahawa STB telah mengekalkan hubungan kukuh dengan syarikat penerbangan dan syarikat pelancongan yang berpangkalan di Korea walaupun semasa pandemik.