Tidak Perlu Lagi Imbas MySejahtera Masuk Premis Dan Tempat Awam Mulai 1 Mei Ini | Sabah News

Tidak Perlu Lagi Imbas MySejahtera Masuk Premis Dan Tempat Awam Mulai 1 Mei Ini | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan bahawa orang ramai tidak lagi diwajibkan untuk mengimbas kod “QR MySejahtera” apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam.

Bagaimanapun, menterinya Khairy Jamaluddin menyeru orang ramai untuk mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak:

“Individu dengan status ‘High Risk’ pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif COVID-19 dan individu yang diberi arahan HSO, tidak dibenarkan masuk ke premis; dan..

“Pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang akan memasuki premisnya,” katanya dalam satu sidang media.

Jelas beliau, walaupun orang awam tidak diwajibkan untuk mengimbas kod MySejahtera, ia masih lagi penting untuk digunakan antara lain bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan COVID-19 dan arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO).

Tambah beliau, ia juga penting untuk membantu KKM dalam pencegahan dan kawalan COVID-19.

Sementara itu, Khairy juga mengumumkan penambahbaikan ciri-ciri aplikasi tersebut sejajar dengan Fasa Peralihan ke Endemik.

“Sebagai permulaan, fungsi yang sedia ada, iaitu Hotspot Tracker yang dahulunya digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes COVID-19, kini akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker untuk melihat kawasan titik panas penyakit-penyakit lain…

“Antaranya, rabies (penyakit anjing gila), demam campak (measles), penyakit tangan, kaki & mulut (HFMD) dan denggi. Kawasan ini akan ditentukan berdasarkan jumlah kes aktif di kawasan lingkungan pengguna untuk setiap penyakit berjangkit.

“Oleh itu, saya menyeru agar rakyat Malaysia mengambil peluang menggunakan fungsi yang ditambah baik ini terutamanya apabila hendak balik ke kampung, berhari raya ke rumah saudara mara atau pergi bercuti,” ujarnya.

Katanya, ini adalah langkah proaktif bagi mengelakkan daripada mengunjungi kawasan yang berisiko tinggi berlaku penularan penyakit berjangkit, terutamanya jika bersama-sama mereka yang berisiko tinggi dan mempunyai komorbiditi.

Mengulas lanjut, Khairy juga mengumumkan bahawa acara bersalaman dibenatkan.

“Salam dibenarkan, tetapi orang awam harusla sentiasa mencuci atau membersihkan tangan dan jangan sentuh muka selepas bersalaman…

“Kesemua ketetapan atau protokol baharu yang dinyatakan di atas akan mula berkuat kuasa Ahad, 1 Mei dan turut terpakai ke atas mereka yang sedang menjalani pengasingan,” katanya