Pemakaian Pelitup Muka Tidak Lagi Diwajibkan Di Luar Bangunan | Sabah News

Pemakaian Pelitup Muka Tidak Lagi Diwajibkan Di Luar Bangunan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin…(Sumber Foto: Bernama)

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia kini boleh menarik nafas lega di luar bangunan kerana pemakaian pelitup muka tidak lagi dikuatkuasakan di kawasan-kawasan tersebut bermula 1 Mei ini.

Memaklumkan perkara itu dalam perutusan sebentar tadi, Menteri Kesihatan, Khairy Jamuluddin berkata, pemakaian pelitup muka masih wajib apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk perkhidmatan ‘e-hailing’.

“Pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah atas pilihan individu tetapi amat digalakkan kerana pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan…

“Penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya akan dikenakan ke atas individu yang gagal mematuhi arahan pemakaian pelitup muka ini,” tegasnya.

Menurut beliau, pelitup bagaimanapun muka boleh ditanggalkan semasa melakukan senaman, berseorangan, sedang makan dan minum, ketika berucap atau membuat persembahan.

“Pemakaian pelitup muka masih lagi penting untuk melindungi diri serta orang disekeliling kita, terutamanya mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan individu ‘immunocompromised’ (sistem imuniti terjejas),” katanya.

Katanya kawasan luar bangunan atau tempat terbuka mempunyai risiko penularan jangkitan yang rendah dalam keadaan di mana ventilasinya adalah baik.

“Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan agar pemakaian pelitup muka di luar bangunan patut terus diamalkan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti bazaar ramadan, pasar malam dan stadium…

“Ini termasuk individu yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema termasuk yang berisiko tinggi ataupun apabila melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko tinggi,” tambah Khairy.

Dalam pada itu, penjarakan fizikal dalam juga dimansuhkan setelah pihaknya mengambil kira semua aktiviti telah dibenarkan dengan penggunaan 100 peratus (100%) kapasiti ruang.

“Maka penjarakan fizikal di antara individu atau kumpulan tidak diperlukan. Namun begitu, penjarakan fizikal digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka,” katanya.