PBRS Sedia Pertahankan Kerusi Tuaran | Sabah News

PBRS Sedia Pertahankan Kerusi Tuaran | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

TAMPARULI, SABAH – Kemasukkan seramai 5842 ahli baru Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di kawasan Parlimen Tuaran, ditambah dengan lebih daripada 4500 ahli PBRS sedia ada, PBRS berada dalam keadaan siap sedia untuk mempertahankan kerusi Parlimen P170 Tuaran untuk Barisan Nasional.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Tan Sri Joseph Kurup berkata, dengan kekuatan keahlian PBRS melebihi 10300 ahli di kawasan Parlimen P170 Tuaran, PBRS amat yakin akan dapat mampu mempertahankan kerusi tersebut yang telah menjadi kubu kuat Barisan Nasional sejak Pilihan Raya Umum ke-11, tahun 2004 lagi.

Beliau berkata demikian ketika menerima kemasukkan seramai 210 daripada DUN N8 Pintasan, 130 DUN N11 Kadamaian, 1512 DUN N12 Pantai Dalit, 1224 DUN N13 Sulaman, 2234 DUN N14 Tamparuli, 872 DUN N15 Kiulu dan 1050 DUN N18 Inanam, menjadikan seramai 7232 ahli baru untuk menyertai PBRS di Dewan Tun Hamdan Tamparuli baru-baru ini.

“Dengan kemasukkan beramai-ramai untuk menjadi ahli PBRS diseluruh pelusuk negeri Sabah sejak kebelakangan ini, ia menunjukkan bahawa keyakinan rakyat keatas kemampuan Parti Barisan Nasional untuk mentadbir-urus negara telah kembali.

“Rakyat mahukan kestabilan politik serta ekonomi seperti mana yang dinikmati oleh negara ketika era pemerintahan Barisan Nasional dahulu,” katanya…

Beliau turut mengajak semua lapisan rakyat di negeri Sabah untuk bersatu hati menyokong semua calon Barisan Nasional pada hari mengundi akan datang.

“Saya berharap bahawa rakyat tidak lagi terpedaya dengan janji-janji kosong yang ditabur oleh pihak pembangkang yang menganggap bahawa manifesto bukan lah kitab suci.

“Masa depan cucu dan cicit kita serta kemajuan, kemakmuran dan pembangunan negeri Sabah adalah perkara pokok yang kita perjuangkan dan kita ketepikan politik sentimen yang merugikan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.