PBBS, USIA Adakan Ziarah Ramadan Bagi Zon Pedalaman Atas | Sabah News

PBBS, USIA Adakan Ziarah Ramadan Bagi Zon Pedalaman Atas | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

TENOM, SABAH – Persatuan Bersatu Bisaya Sabah (PBBS) bersama Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) telah mengadakan ziarah Ramadan bagi zon Pedalaman Atas di Masjid Kampung Batu Tiningkang, di sini kelmarin.

Presidennya, Haji Ruslan Muharam berkata, di bulan Ramadan merupakan bulan pengampunan, bulan yang menguji keimanan serta menggalakkan umat Islam berpuasa, membayar Zakat Fitrah dan banyak ganjaran (pahala) yang dapat kita perolehi lebih-lebih lagi membantu golongan asnaf dan yang memerlukan.

Ruslan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada penyelaras program, Ghani Ajim serta semua yang terlibat menjayakan program ini.

Semasa program ziarah tersebut, Ruslan telah menyampaikan sumbangan kepada masjid dan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir…

Ruslan yang juga Ketua USIA Bahagian Beaufort juga meluluskan tiga unit alat penghawa dingin (1.5HP) yang akan dipasang sebelum Hari Raya Aidilfitri bagi keselesaan jemaah di masjid berkenaan.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada golongan Asnaf yang tinggal di kampung berkenaan.

Ruslan berharap, ziarah ini merapatkan hubungan ukhuwah khususnya dalam kalangan masyarakat Bisaya sendiri.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat beberapa perancangan utama yang hendak dilakukan oleh PBBS di bahagian Zon Pedalaman Atas dalam memantapkan dan menyusun semula keahlian PBBS.

Ghani mewakili penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada Ruslan dan ahli-ahli rombongan yang hadir.

Hadir sama ialah Penolong Pegawai Daerah Tenom, Yusuf Ismal dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.42 Melalap, Simon Mamat.