Cubaan Empat Bot Laju Menyeludup Rokok Digagalkan | Sabah News

Cubaan Empat Bot Laju Menyeludup Rokok Digagalkan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





SEMPORNA, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna menggagalkan cubaan empat bot laju untuk menyeludup masuk rokok putih di perairan Pulau Larapan, Semporna sekitar jam 5.30 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, hasil daripada maklumat risikan, Zon Maritim Semporna mengatur gerak bot ronda ke lokasi dan berjaya mengesan serta menjumpai empat bot enjin sangkut ditinggalkan tanpa pemandu atau pemilik yang dipercayai telah melarikan diri setelah menyedari kehadiran penguat kuasa.

“Pemeriksaan mendapati kesemua empat bot tidak memiliki nombor pendaftaran dan juga turut menemui 380 karton rokok putih tanpa cukai yang dipercayai diseludup masuk ke Semporna untuk pasaran tempatan.

“Kesemua rokok, bot beserta enjin dianggarkan bernilai RM45,000 dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam…

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana cubaan menyeludup masuk rokok putih tanpa cukai.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini.

“Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot spot’ terutamanya sekitar sempadan perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI ke negeri Sabah melalui jalan laut,” tambahnya.