Pejuang Akan Tanding PRU-15 Di Sabah, Lancar Parti Bulan Mei | Sabah News

Pejuang Akan Tanding PRU-15 Di Sabah, Lancar Parti Bulan Mei | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan pelancaran rasmi parti itu di Sabah pada 22 Mei ini.

Menurut beliau, Pejuang mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada rakyat Sabah ketika ini selain menjangkakan majlis perasmian itu akan meriah.

“Saya harap daripada situ pengenalan Pejuang akan mula meningkat di kalangan rakyat Sabah. Sabah adalah negeri ketiga yang mendapat keahlian tertinggi selain Kedah dan Selangor…

“Bukan hanya dengan kehadiran kami saja, tapi juga mengenai apa sebenarnya yang sudah dibuat oleh Pejuang sekiranya diberikan keyakinan oleh rakyat Sabah,” katanya kepada wartawan pada majlis berbuka puasa bersama kepimpinan Pejuang Sabah, di sini, semalam.

Katanya daripada 25 kawasan Parlimen Sabah, Pejuang mempunyai ahli di semua kawasan dan telah menubuhkan jawatankuasa di 16 daripada kawasan tersebut.

“InsyaAllah, saya rasa kita akan menyertai PRU termasuk di Sabah ini, tetapi kita belum membuat keputusan berkaitan dengan jumlah kerusi, di mana kita nak bertanding dan sebagainya.

“Kita bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan menilai tahap kekuatan yang ada di Sabah ini supaya kita membuat keputusan yang tepat menjelang PRU nanti,” katanya kepada pengamal media.

Turut hadir, Ketua Pejuang Sabah, Nicholas Sylvester dan timbalannya, Ben Jifkin.