Golongan Ibu Bapa, Komuniti Penting Bagi Pemilihan OKU Sabah – Shahelmey | Sabah News

Golongan Ibu Bapa, Komuniti Penting Bagi Pemilihan OKU Sabah – Shahelmey | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Shahelmey menyampaikan bakul Ziarah Ramadan kepada salah satu pelajar OKU di PDK Kem Lok Kawi sambil disaksikan oleh Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid; Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia…

PUTATAN, SABAH – Pembabitan golongan ibu bapa dan komuniti merupakan pendekatan penting bagi usaha pemulihan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, intervensi awal akan dapat mengurangkan risiko ketidakupayaan golongan OKU, terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Jelasnya, program Pemulihan dalam Komuniti (PDK) yang ditubuhkan oleh Kerajaan adalah sangat relevan bukan sahaja kepada kanak-kanak OKU, tetapi juga kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU.

“Program Pemulihan dalam Komuniti adalah satu strategi Kerajaan dalam membangunkan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial OKU…

“PDK mengambil pendekatan penglibatan aktif oleh ibu bapa, keluarga dan masyarakat setempat atau komuniti terhadap usaha pemulihan insan-insan istimewa ini.

“Golongan ibu bapa kepada anak OKU terutamanya akan memperoleh pengetahuan dan kemahiran tentang cara pengendalian kanak-kanak istimewa dengan lebih berkesan selain dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan sesama sendiri,” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika berucap dalam Program Ziarah Ramadan Pusat Pemulihan dalam Komuniti di Pangkalan Tentera Kem Lok Kawi, Putatan, kelmarin.

Shahelmey juga berharap dengan adanya PDK ini akan dapat membantu dari segi kesejahteraan golongan OKU yang juga merupakan golongan sasar kementeriannya.

“Saya berharap PDK akan terus mengorak langkah untuk memberikan pembangunan seimbang dan kesejahteraan kepada golongan OKU dalam menjana pembangunan OKU yang produktif serta kehidupan berdikari,” ujarnya.

Untuk rekod, setakat Januari tahun ini, sebanyak 40 buah PDK telah ditubuhkan di negeri Sabah yang memberi manfaat kepada seramai 2,386 orang OKU dan melibatkan 331 orang penyelia.