Pengembara Vaksinasi Penuh Tidak Perlu Ambil Ujian COVID-19 Masuk Singapura Mulai Selasa Ini | Sabah News

Pengembara Vaksinasi Penuh Tidak Perlu Ambil Ujian COVID-19 Masuk Singapura Mulai Selasa Ini | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

SINGAPURA – Pengembara yang divaksinasi sepenuhnya tidak lagi perlu mengambil sebarang ujian COVID-19 untuk memasuki republik ini mulai Selasa ini.

Memetik laporan BH, peraturan itu sudah dilaksanakan bagi mereka yang memasuki Singapura melalui tambak serta Linkedua, dan kini turut dilaksana bagi mereka yang masuk menerusi udara atau laut.

Buat masa ini, sebelum perjalanan memasuki Singapura, pengembara udara dan laut perlu mengambil ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) COVID-19 yang ditadbir secara profesional atau ujian pantas antigen (ART) yang dikendali secara profesional atau diselia secara maya oleh pihak diiktiraf.

Sementara itu, pengembara ulang-alik Singapura dan Malaysia boleh menaiki bas awam atau teksi rentas sempadan mulai 1 Mei, selepas perkhidmatan itu dihentikan sejak Mac 2020.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan Jumaat (22 Apr) lepas berkata, bas SMRT akan memulakan kembali perkhidmatan 950 rentas sempadannya, dan pengendali bas Singapura Transtar Travel akan menyambung perkhidmatan TS1, TS3, TS6 dan TS8nya.

LTA berkata ia bekerjasama rapat dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia bagi mengembalikan perkhidmatan teksi rentas sempadan.

Selain itu, langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS) tidak lagi diperlukan dalam kebanyakan keadaan mulai Selasa ini.

Namun, ada pengecualian bagi keadaan lebih berisiko tinggi seperti acara lebih besar, premis makanan dan minuman (F&B) serta pusat hiburan malam yang membenarkan orang ramai menari.

Pelonggaran itu diumum semalam pada sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian tatkala kadar vaksinasi Singapura berada pada tahap antara tertinggi di dunia dan kes COVID-19 di negara ini kian berkurangan.

Lebih 96 peratus penduduk Singapura yang boleh menjalani vaksinasi sudah lengkap divaksin.

Hospital dan pekerja jagaan kesihatan juga sedang membuat penyesuaian bagi menangani beban kerja klinikal lebih tinggi daripada pesakit coronavirus.

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, berkata pertimbangan utama bagi mengenalkan VDS dulu ialah mereka yang belum lengkap divaksin menyumbang kepada bilangan tidak seimbang pesakit yang terjejas teruk atau berada di hujung nyawa.

“Justeru, apabila hospital kita masih di bawah banyak tekanan, VDS penting bagi memastikan kita tidak menambah terlalu banyak beban pada sistem jagaan kesihatan kita.

“Bagaimanapun, apabila beban kerja hospital kini mula agak berkurangan, terdapat kurang keperluan untuk VDS dikekalkan dalam keadaannya kini,” katanya.

Bagaimanapun, VDS akan terus digunakan di lokasi berisiko lebih tinggi seperti pusat hiburan malam yang membenarkan pengunjung menari, di mana mereka berinteraksi lebih rapat dan berada dalam jarak lebih dekat buat tempoh masa lebih lama.

Ia juga diwajibkan bagi acara lebih besar dengan sekurang-kurangnya 500 pengunjung pada sesuatu masa seperti makan malam berskala besar, majlis kahwin dan persidangan yang berpotensi menyebabkan virus merebak cepat.