Negara Akan Mengikuti Mesyuarat Tergempar OIC, Bincang Isu Palestin | Sabah News

Negara Akan Mengikuti Mesyuarat Tergempar OIC, Bincang Isu Palestin | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Datuk Saifuddin Abdullah…

KUANTAN – Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Abd Razak Abdul Wahab akan mewakili negara dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan isu membabitkan kekasaran Israel terhadap umat Islam Palestin di Masjid Al-Aqsa pada Isnin ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, OIC akan mengadakan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif badan itu bagi membincangkan isu tersebut yang berlangsung di Jeddah.

“Mesej pertama yang nak disampaikan ialah tamatkan apa yang sedang berlaku, kedua kita gesa negara-negara OIC dan masyarakat antarabangsa untuk label Israel sebagai negara aparteid…

“Kita amat dukacita dan kesal dengan kekejaman Israel, perlakuan kasar mereka keterlaluan terhadap masyarakat Palestin sejak Jumaat lepas dan masih berterusan,” katanya.

Sabtu lepas, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel ke atas penduduk awam dan Jemaah Palestin di Masjid Al-Aqsa.

Saifuddin berkata, beliau telah menulis surat rasmi kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Setiausaha Agung OIC, Setiausaha Negara Amerika Syarikat dan Setiausaha Luar United Kingdom untuk mendapatkan bantuan bagi menghentikan keganasan Israel.

“Saya juga telah menghubungi Menteri Luar beberapa negara yang kita jangka boleh membantu hentikan segera tindakan zalim Israel ke atas umat Islam yang hanya ingin beribadah di Majis Al-Aqsa,” katanya.

Beliau memaklumkan turut menghubungi Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki dan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh pada Ahad lepas secara telesidang serta menyampaikan solidariti Malaysia kepada Palestin yang dibalas dengan ucapan terima kasih kedua-dua pemimpin.