Artis Tempatan Sabah Harus Diberikan Pampasan Setimpal – Jeffrey | Sabah News

Artis Tempatan Sabah Harus Diberikan Pampasan Setimpal – Jeffrey | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan…

KOTA KINABALU, SABAH – Artis tempatan harus diberikan pampasan yang setimpal di atas kerja keras mereka melalui pelesenan muzik dan pengagihan royalti.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, artis tempatan sudah lama diabaikan dan usaha mereka dalam menghasilkan muzik etnik berkualiti tinggi dan tugas menghiburkan rakyat tidak mendapat sokongan secukupnya.

“Akta Hak Cipta 1987 tidak pernah dilaksanakan secara adil untuk lagu-lagu etnik Sabah sejak 35 tahun yang lalu…

“Sebagai contoh, seorang pemuzik mendedahkan tahun lalu, dia hanya menerima RM13.57 untuk salah sebuah lagunya yang disukai ramai walhal seorang artis Malaya akan menerima sekurang-kurangnya RM200.

“Tidak hairanlah jika artis kita yang paling berbakat berduyun-duyun ke Malaya kerana mereka boleh memperolehi harga yang lebih baik untuk muzik mereka di sana,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Music Rights Sabah (MRS) Berhad di pejabatnya pada Jumaat.

Dalam pertemuan selama 90 minit itu, Kitingan telah diberi taklimat tentang tujuan MRS dan objektif mereka oleh Pengarah Urusan MRS Asmin Mudin. Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah PUAN Justin Juani dan Mohd Ashraf Abdullah.

Kitingan bersetuju bahawa terdapat keperluan mendesak untuk mempertahankan hak artis asli melalui pelesenan dan pengagihan royalti untuk semua lagu etnik di wilayah Sabah dan di Labuan.

Dalam pertemuan itu, MRS menyatakan bahawa mereka berhasrat untuk melesenkan Pesta Menuai (Kaamatan) Peringkat Negeri pada tahun ini selama sebulan penuh di seluruh Sabah, serta di semua cawangan KDCA di Labuan dan Malaya.

Ini kerana pada musim perayaan itu, lebih banyak lagu etnik tempatan akan dipersembahkan di merata tempat.

“Saya secara peribadi memihak kepada MRS. Kita sepatutnya mempunyai wakil pelesenan sendiri di Sabah untuk menghalang badan pengagihan royalti Malaya daripada melucutkan hak royalti artis tempatan kita,” katanya.

Sehubungan itu, Kitingan berkata beliau akan menyediakan dan membentangkan kertas kabinet mengenai perkara itu bagi memujuk menteri lain supaya menyokong aktiviti pelesenan dan pengagihan royalti MRS.

“Selama lebih 30 tahun, artis tempatan kita menjadi mangsa ketidakadilan. Ia tidak boleh diteruskan. Kita perlu mengembalikan semula maruah muzik tempatan seperti yang sepatutnya,” katanya.