Sikuati Tumpuan Pelaburan Pemprosesan Silika, Impak Besar Pembangunan Sabah | Sabah News

Sikuati Tumpuan Pelaburan Pemprosesan Silika, Impak Besar Pembangunan Sabah | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

 

KUDAT, SABAH – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam telah menghadiri satu mesyuarat yang juga diadakan secara atas talian (zoom meeting) bagi membincangkan status terkini projek kilang memproses pasir silika di Sikuati, di sini oleh Sbh Kibing Solar New Materials (M) SDN Bhd.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, telah mendengar taklimat yang diberikan oleh Pengarah Urusan Syarikat, Lin Hai.

Oleh yang demikian, bagi menjayakan projek ini, Dr Joachim meminta semua Jabatan dan Agensi kerajaan dan swasta yang terlibat memberikan kerjasama padu.

Mesyuarat yang diadakan di Ballroom Kudat Golf and Marina Resort, dihadiri oleh Pengerusi Kumpulan Kibing, Yu Qi Bing; Setiausaha Tetap MID bersama timbalan, Thomas Logijin dan Benedick Bisoni; Pengarah Jabatan Pembangunan Industri dan Penyelidikan (DIDR), Tseu Kei Yue, Pegawai Daerah Kudat, Haji Bakrun Nanun, Ketua-ketua Jabatan seperti Jabatan Air, Sabah Electricity Sdn. Bhd.(SESB), Jabatan Kastam Kudat, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Jabatan Laut, Sabah Park, Sabah Port Sdn Bhd, Ibu Pejabat Polis Kudat, Jabatan Imegresen, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar, MIDA dan beberapa wakil syarikat-syarikat swasta serta pegawai kerja Kibing yang mengikuti mesyuarat secara fizikal atau online.

Dr Joachim berkata, antara perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat adalah seperti keperluan-keperluan dan sokongan terhadap fasiliti seperti bekalan elektrik dan air.

Beliau memberitahu bahawa pihak Kibing memohon kepada Kerajaan agar pas pekerja diberikan bagi kemasukan seramai 300 pekerja China semasa projek dijalankan.

Kibing telah memulakan projek mereka di Semenanjung Malaysia seperti di Negeri Sembilan dan Johor dan pada 18 Januari lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor sendiri telah menyaksikan satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah (MID) dan China-SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn. Bhd.

Projek berkenaan adalah bagi membangunkan kilang memproses pasir silika dan menghasilkan panel solar di Sikuati, dengan nilai pelaburan permulaan sebanyak RM2 billion.

Menurutnya lagi, ini merupakan aktiviti signifikan yang pertama di Sikuati yang selama ini ‘tidur’ seketika, sekaligus memberi peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri Sabah ini, khususnya di Kudat.

Dr Joachim berharap, pelaburan silika ini akan membawa impak besar kepada pembangunan ekonomi Sabah yang lebih mapan.