Pesakit Paling Lama Dijangkiti Virus COVID-19 Selama 18 Bulan Meninggal Dunia | Sabah News

Pesakit Paling Lama Dijangkiti Virus COVID-19 Selama 18 Bulan Meninggal Dunia | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

LONDON, BRITAIN – Seorang pesakit di Britain dilaporkan bertarung dengan koronavirus selama hampir 18 bulan, dipercayai jangkitan Covid-19  paling lama di dunia.

Saintis-saintis berkata, pesakit yang identitinya tidak didedahkan itu akhirnya meninggal dunia setelah imunitinya merosot dengan teruk.

Pakar-pakar tidak dapat mendedahkan butiran seperti keadaan pesakit, umur atau sama ada dia telah divaksin atau sebaliknya.

Kes tersebut didedahkan oleh penyelidik-penyelidik dari King’s College London dan sebuah yayasan milik Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

Mereka melakukan kajian terhadap sembilan pesakit berlainan yang memiliki sistem imuniti lemah disebabkan pemindahan organ, HIV dan kanser. Kajian itu dilakukan antara Mac 2020 hingga Disember 2021.

Keputusan kajian mendapati empat daripada mereka meninggal dunia, dua lagi memerlukan rawatan antivirus untuk menghilangkan jangkitan dan dua pesakit lain akhirnya sembuh tanpa rawatan.

Bagaimanapun, pesakit kesembilan turut dijangkiti Covid-19 sejak 412 hari yang lalu. Sekiranya virus tersebut gagal diatasi sebelum kemas kini seterusnya, ia akan mengatasi rekod 505 hari yang dicatat oleh pesakit lain.

Secara purata, sembilan pesakit itu telah bertarung melawan Covid-19 selama 72 hari sebelum mereka sama ada pulih, meninggal dunia atau kajian tersebut berakhir.

Pasukan itu turut mengesan satu kes ‘jangkitan ganjil’ iaitu di mana seseorang yang disangka pulih setelah negatif saringan Covid-19, namun badannya kemudian didapati masih mempunyai virus tersebut.

Penyelidikan berkenaan dibentangkan di Kongres Mikrobiologi Klinikal dan Penyakit Berjangkit Eropah di Portugal.