Kestabilan Politik, Ekonomi Dan Keselamatan Sangat Penting – Yakub | Sabah News

Kestabilan Politik, Ekonomi Dan Keselamatan Sangat Penting – Yakub | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU, SABAH – Tiga elemen perlu dijadikan teras utama dalam memastikan UMNO terus kekal menambat hati rakyat khususnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU15) akan datang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan, berkata tiga elemen itu merangkumi kestabilan ‘Politik, Ekonomi dan Keselamatan’ menjadi faktor utama agar rakyat dapat menikmati pembangunan berterusan di masa depan.

Katanya, UMNO sudah mengalami pelbagai dugaan selepas tewas dalam PRU14 kemudian menjadi pembangkang di peringkat negeri dan pusat.

“Kita sudah pernah mengalami musim pemerintahan Pakatan Harapan (PH), kemudian berganti kepada Perikatan Nasional (PN) kini Alhamdullilah kembali ke pada Kerajaan yang menggunakan Slogan Keluarga Malaysia…

“Di peringkat negeri Sabah juga ditunjangi Gabungan Rakyat Sabah (GRS-BN) memperlihatkan keadaan ketiga-tiga elemen tersebut sangat berkaitan diantara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa Bersama golongan asnaf Anjuran UMNO Bahagian Sepanggar di sini malam ini.

Yakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Karambunai berkata, sejak BN kembali menerajui kerajaan keadaan suasana kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan sentiasa terjamin sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada rakyat disamping dapat menikmati keadaan ekonomi yang stabil.

“Berbanding keadaan sebelum ini peluang pekerjaan sangat kurang, faktor ekonomi negeri tidak dapat digerakkan berikutan ketiadaan kestabilan politik di peringkat negeri dan persekutuan,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Yakub menggesa agar semua ahli UMNO di peringkat bahagian agar bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 yang diadakan dalam tempoh terdekat.

“Kita yakin UMNO Bahagian Sepanggar sudah bersiap sedia mengalas tugas berat ini sekali gus memastikan UMNO kembali menjadi pilihan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.