Negara Perlu Atasi Masalah Kelajuan Internet | Sabah News

Negara Perlu Atasi Masalah Kelajuan Internet | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

IPOH – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, menggesa pemain industri, agensi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk memastikan masalah kelajuan Internet negara dapat diatasi dengan segera.

Jelas beliau, masalah memuat turun bahan dan kandungan Internet hingga mengambil masa begitu lama, tidak seharusnya berlaku ketika negara kini bergerak ke arah pembangunan teknologi 5G.

Katanya, masalah kelajuan Internet ini perlu diatasi dari pelbagai sudut, termasuk pelantikan kontraktor dan menambah baik menara telekomunikasi.

“Ada banyak tempat yang saya buat ujian kelajuan dan didapati memang rendah seperti di Felda Kahang Barat, Kluang, Johor sebelum ini, hanya 12 Mbps sahaja.

“Bagaimana pelajar ingin memuat naik bahan kalau asyik keluar ‘donat’, dan berputar sahaja?..

“Kesian juga peniaga dalam talian, kerana berbuih kita berkempen untuk perniagaan dalam talian, tetapi Internet sendiri tidak ‘clear’.

Kita tidak boleh menjadi kerajaan yang bercakap sahaja, tetapi tidak nampak hasilnya…

“Kita kena pastikan kerajaan berprestasi dalam setiap bidang. Apa guna kita bercakap itu ini, tetapi rakyat masih tunggu perkhidmatan Internet yang memuaskan? Kehidupan kini tidak akan lengkap dan sempurna tanpa Internet yang bagus,” katanya dalam satu majlis.

Annuar turut memberikan contoh, akan pentingnya melantik kontraktor yang bersesuaian agar Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan, supaya matlamat akhir untuk mencapai 100 peratus liputan Internet di seluruh negara, diyakini akan terlaksana.

Beliau berkata, ini kerana adalah penting bagi memastikan pihak yang dilantik ini, menyiapkan pelan yang dirancang sebaik-baiknya, supaya hasrat menyediakan perkhidmatan 100 peratus capaian Internet kepada kawasan berpenduduk menjelang 2025, akan dapat dijayakan.