KKR Harap Tiada Lagi Penangguhan Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo | Sabah News

KKR Harap Tiada Lagi Penangguhan Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Datuk Arthur Joseph Kurup…

TELUPID, SABAH – Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Arthur Joseph Kurup harap agar tiada lagi penangguhan dalam menyiapkan projek Lebuhraya Pan Borneo pada Fasa Peralihan ke Endemik ini.

Jelas beliau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi punca utama penangguhan pembinaan lebuh raya itu menyebabkan penyenggaraan beberapa jalan dalam jajaran Pan Borneo itu juga tertangguh.

“Apabila kerajaan melaksanakan PKP, terdapat beberapa masalah seperti kekurangan pekerja, kekurangan bahan, penutupan kilang, dan sebagainya, tetapi sekarang tidak ada lagi PKP jadi kita boleh melaksanakan kerja.

“KKR akan sentiasa memantau dan mendapatkan laporan perkembangan pelaksanaan setiap bulan bagi memastikan pihak kontraktor akan menyiapkan kerja mengikut skop dan jadual yang ditetapkan,” katanya.

Arthur turut meminta rakyat agar bersabar sementara pelaksanaan projek itu disambung semula demi keselesaan rakyat pada masa hadapan, terutama di jajaran Sandakan-Telupid yang beberapa laluan mengalami kerosakan teruk.

Menurutnya, kontraktor telah memulakan kerja menurap jalan agar selamat untuk pengguna jalan raya, namun tidak menafikan tetap ada ketidakselesaan dialami pengguna jalan itu, yang merupakan di bawah skop pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

“Bagaimanapun, ketidakselesaan ini bersifat sementara sahaja sewaktu kerja pembinaan untuk Pan Borneo…

Pada masa yang sama, status pelaksanaannya sedang berjalan dengan agak baik,” tambahnya.

Jalan Sandakan-Telupid sepanjang 58 km merupakan jajaran di bawah pakej kerja 28, 29 dan 30 Projek Lebuhraya Pan Borneo, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada November tahun lepas, dengan kos pembinaan sebanyak RM877 juta.Skop pembinaan jalan itu melibatkan kerja menaik taraf jalan daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala dan terdapat juga pembinaan tiga jambatan baharu dan satu persimpangan bertingkat.

Pakej kerja tersebut dijangka mengambil masa tiga tahun dan dijadual siap pada Oktober 2024.