Belia Sabah Sambut Baik Pembinaan Rumah Mesra SMJ | Sabah News

Belia Sabah Sambut Baik Pembinaan Rumah Mesra SMJ | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan…

KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Belia Sabah (MBS) menyambut baik pengumuman Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkenaan keputusan Kerajaan Negeri untuk membina 1,500 Rumah Mesra SMJ (Sabah Maju Jaya) di kesemua 73 kawasan DUN Sabah menggunakan peruntukan Geran Khas Kerajaan Persekutuan untuk Sabah.

Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan, memuji kepimpinan Ketua Menteri Sabah kerana berjaya mendapatkan kenaikan dalam Geran Khas Kerajaan Persekutuan untuk Sabah, iaitu peningkatan sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bermula 2022.

“Keputusan ini akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Sabah yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah, selaras dengan inisiatif Hala Tuju SMJ untuk memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wakil Majlis Belia KDCA, Steve Johnny Mositun…

Sementara itu, Majlis Belia Kadazan Dusun Cultural Associaton (KDCA) memuji langkah tersebut sambil berkata ianya menunjukkan permulaan yang baik untuk Sabah dan memastikan dana itu akan digunakan dengan baik untuk kepentingan rakyat dan negeri.

Mewakili Majlis Belia KDCA, Steve Johnny Mositun berkata, generasi muda perlu menyokong sebarang langkah baik oleh kerajaan.

“Dan sebagai persatuan yang memelihara budaya Kadazandusun, kita harus bekerjasama dalam memastikan kepelbagaian unik itu berterusan untuk banyak generasi,” katanya.