Satu Demi Satu Masalah Dihadapi JKNS | Sabah News

Satu Demi Satu Masalah Dihadapi JKNS | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, Sabah…

KOTA KINABALU, SABAH – Selepas putus bekalan elektrik di Hospital Queen Elizabeth (HQE) semalam, HQE II pula mengalami masalah paip bocor pagi tadi.

Gangguan bekalan elektrik tersebut telah dikenal pasti pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sebagai berpunca daripada kerosakan kabel bawah tanah 11kV milik HQE.

Bekalan elektrik di HQE dilaporkan terganggu bermula jam 11.54 pagi semalam yang menjejaskan bangunan menara berkembar, klinik pakar dan blok bangunan perubatan lama hospital berkenaan.

Perkara itu menyebabkan 28 pembedahan elektif yang dijadualkan hari ini terpaksa ditangguhkan manakala kes yang memerlukan pembedahan kecemasan dilakukan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, dewan bedah HQE dijangka tutup sehingga esok bagi memastikan bekalan elektrik ke fasiliti lain, seperti wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) mencukupi dan stabil.

“Pada masa ini, syarikat konsesi Sedafiat Sdn Bhd masih berusaha untuk membaiki kabel elektrik yang rosak agar bekalan elektrik pulih seperti sediakala,” katanya dalam satu kenyataan…

Katanya ketika ini, bekalan elektrik kecemasan disalurkan ke hospital itu menggunakan dua set janakuasa sedia ada di HQE dengan dua lagi set janakuasa mudah alih disediakan SESB.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir Mohd Yaakob Jaafar pula menjelaskan pepasangan milik SESB di Hospital terbabit berada dalam keadaan yang baik.

“Punca gangguan bekalan adalah disebabkan sistem dalaman hospital…

“SESB bersedia untuk membantu pihak hospital melakukan ujian dan mengesan lokasi kerosakan kabel berkenaan jika diperlukan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Sementara itu, sebuah paip air di HQE II tiba-tiba bocor kira-kira pukul 11 pagi tadi. Hal itu selepas beberapa orang pesakit dari HQE dipindahkan ekoran gangguan bekalan elektrik semalam.

Dr. Rose berkata kejadian itu mengakibatkan limpahan air di stor unit sajian dan ruangan linen Sedafiat pada aras bawah tanah HQE II.

“Langkah segera yang diambil HQE II adalah dan syarikat konsesi adalah pemasangan paip pintasan.

“Kesan limpahan air juga sudah dibersihkan manakala proses baik pulih paip bocor sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada jam 8 malam, hari ini,” katanya.

Tambah beliau, Pihak HQEII dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sedang bertungkus-lumus untuk menyelesaikan masalah paip bocor bagi memastikan perkhidmatan rawatan kesihatan tidak terjejas.