Salah Buat Kesimpulan Umum Terhadap Belia – Firdaus | Sabah News

Salah Buat Kesimpulan Umum Terhadap Belia – Firdaus | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Firdaus berbual bersama media dalam majlis berbuka puasa di Mutiara Tom Yam di Sembulan baru-baru ini…

KOTA KINABALU, SABAH – Belia hari ini mahukan suara mereka didengari selain dihormati tetapi bagi mereka di Sabah, kemajuan golongan anak muda masih dikekang masalah asas yang telah lama berlarutan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Khairul Firdaus Akbar Khan, menjelaskan bahawa rata-rata kemahuan pengundi berumur 18 tahun sama seperti orang tua mereka.

“Sabah masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur, bekalan air dan tenaga, pencapaian internet, pusat latihan dan kemahiran teknologi…

“Inilah masalah asas yang seharusnya diselesaikan terlebih dahulu.

“Kita tidak boleh menyimpulkan anak muda sebagai suatu kumpulan yang umum, kerana sama seperti golongan yang sudah berumur, kemahuan rakyat berbeza mengikut kawasan masing-masing,” katanya.

Katanya, golongan belia bukanlah seperti yang cuba digambarkan presiden parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang cuba menyamakan kemahuan golongan itu bagi seluruh Malaysia.

“Pendekatan terhadap pengundi muda ini amat bergantung kepada pembawaan bahagian itu sendiri…

“Jika mereka tidak memainkan peranan, maka orang muda tidak akan tertarik atau peduli tentang mengundi.

“Tapi kalau bahagian lebih melibatkan anak muda dalam anjuran program dan sebagainya, sudah tentu mereka akan keluar memberikan sokongan.

“Kalau tidak, golongan muda ini akan terus kekal neutral dan tidak mengendahkan politik negara. Semudah itu,” katanya.

Firdaus berkata cabaran utama mendekati si pemuda bukanlah kerana mereka terbahagi antara parti A atau B tetapi bagi mencungkil minat mereka terhadap mengundi dan politik negara.

Menurutnya, BERSATU Sabah melalui pelbagai anjuran bengkel dan program sedang membentuk generasi yang menyedari kemampuan mereka demi terus membela kemakmuran negara.

Mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang semakin hampir, beliau berkata BERSATU Sabah sentiasa bersedia menghadapi apa-apa kemungkinan.

“Pilihan Raya Negeri Sabah dua tahun lalu ibarat satu ujian awal bagi kami. Sudah tiba masa Sabah mulakan reformasi blok seperti dilakukan Sarawak demi memartabatkan negeri sendiri.

“Perkara ini mesti dilaksanakan kerana jika tidak, Sabah akan kekal seperti mana 20 tahun yang lalu…

Terutamanya jika terbit masalah politik di perngikat pusat, ianya pasti akan memberikan impak secara langsung kepada Sabah.

“Saya percaya PRU kali ini bukanlah melibatkan isu nasional, tetapi lebih kepada pembangunan dan kebajikan setempat.

“Kalau semua bahagian telah memainkan peranan, secara jelas BERSATU tidak akan meghadapi masalah khususnya dengan kelayakan pengundi 18 tahun kali ini,” kata Firdaus yang juga Ketua BERSATU Bahagian Batu Sapi.