PERSIDANGAN MPPS AKAN DIADAKAN DI SABAH PADA MEI INI – KM HAJIJI | Sabah News

PERSIDANGAN MPPS AKAN DIADAKAN DI SABAH PADA MEI INI – KM HAJIJI | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah menyerahkan sumbangan kepada Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Sabah Universiti Malaya, Nurul Farhani Abdullah sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan Berbuka Puasa Bersama Mahasiswa dan Mahasiswi Institut Pengajian Tinggi di Setia City Convention Centre, Setia Alam di sini, kelmarin…

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sabah akan mengadakan Persidangan Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) yang dijangka berlangsung di Kota Kinabalu pada akhir bulan Mei ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, MPPS akan digerakkan oleh Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah dan Majlis Belia Sabah.

Katanya, MPPS ini bakal menghimpunkan pimpinan mahasiswa IPTA dan IPTS, politeknik, institut kemahiran, kolej komuniti, kolej matrikulasi dan pemimpin pelajar sekolah menengah dalam satu persidangan yang dihadiri oleh pemimpin tertinggi kerajaan negeri Sabah.

“Peserta akan dibahagikan mengikut tujuh kluster iaitu Pendidikan dan Kerjaya; Alam Sekitar dan Kelestarian Hijau; Belia, Sukan dan Rekreasi; Ekonomi Anak Muda dan Perniagaan; Pertanian dan Pelancongan; Kepimpinan dan Pembangunan Modal Insan serta Sains, Teknologi dan Inovasi…

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah bergambar dengan sebahagian daripada 1,000 pelajar sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan Berbuka Puasa Bersama Mahasiswa dan Mahasiswi Institut Pengajian Tinggi di Setia City Convention Centre, Setia Alam di sini, semalam (18 April 2022)…

“Selain dihadiri pemimpin tertinggi kerajaan negeri, persidangan ini akan turut dihadiri oleh beberapa kementerian, jabatan dan agensi berkaitan bagi mendengar suara dan aspirasi para pimpinan mahasiswa dan pelajar Sabah. MPPS juga akan melibatkan pimpinan mahasiswa Sabah di Semenanjung, Sarawak dan Labuan…

“Semoga MPPS dapat dijadikan platform penting oleh anak muda Sabah untuk menyuarakan pandangan dan aspirasi mereka bagi sama-sama menjayakan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” Kata Hajiji.

Katanya sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan Berbuka Puasa Mahasiswa dan Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi Bersama Ketua Menteri Sabah yang dihadiri lebih daripada 1,000 mahasiswa dan mahasiswi Sabah di Semenanjung di Setia City Convention Centre, Setia Alam, di sini malam Isnin.

Yang turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Haji Kadzim Haji M Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar serta Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Sabah Universiti Malaya, Nurul Farhani Abdullah.

Dalam majlis yang sama, Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata kerajaan negeri melalui Kumpulan Yayasan Sabah juga telah meluluskan penubuhan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi membolehkan lebih ramai anak-anak Sabah dapat dibantu.

“Ini sejajar dengan matlamat utama penubuhan TPNS iaitu untuk membantu meringankan bebanan kewangan anak-anak Sabah…

“Kerajaan negeri Sabah mahu lebih banyak peluang tajaan dapat disalurkan kepada anak-anak Sabah yang berjaya masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi penubuhan TPNS,” katanya.

Sempena majlis itu, Hajiji turut mengumumkan penubuhan Sekretariat Khas bagi memayungi semua persatuan pelajar Sabah di Semenanjung, yang akan diletakkan di bawah Menteri Tugas-Tugas Khas.

“Mahasiswa dan mahasiswi semua adalah pelapis dan tonggak pemangkin teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Dalam memacu pembangunan di Sabah sepertimana yang kita gariskan dalam Hala Tuju SMJ, kita telah menggariskan faktor modal insan sebagai asas penting yang bersifat holistik bagi melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing…

“Oleh itu, saya menyeru kepada anak-anak semua, banyakkan membaca dan luaskan pengetahuan. Rebutlah peluang menimba ilmu dan kembali menabur bakti di negeri yang kita sayangi. Saya berharap selepas menghabiskan pengajian di sini, kembalilah ke Sabah untuk sama-sama membantu kerajaan menjayakan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ,” katanya.

Dalam pada itu Hajiji berkata bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi pelajar di Semenanjung, pelbagai insentif telah disediakan. Kumpulan Yayasan Sabah menawarkan pelbagai bantuan seperti Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Biasiswa Cemerlang Pelajar Luar Bandar, Biasiswa IPTA, Biasiswa IPTS, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi.

“Sejak tahun 1967 hingga 2021, Kumpulan Yayasan Sabah tidak pernah putus memberi bantuan melalui pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi. Sejumlah RM650.8 juta telah dibelanjakan kepada 40,222 orang pelajar Sabah yang mengikuti pelbagai disiplin ilmu sama ada di institusi pengajian tinggi di dalam mahupun ke luar negara…

“Kerajaan negeri juga melalui Menteri Tugas-Tugas Khas telah melancarkan Bantuan Tunai Pendaftaran IPT iaitu BUDI. Kerajaan negeri juga memberi pengiktirafan pencapaian cemerlang kepada pelajar-pelajar Sabah yang berjaya mencipta kejayaan dan mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Pengiktirafan khas kerajaan negeri ini akan dikenali sebagai Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA),” katanya lagi.